Tinjauan harga barangan basah seperti sayur-sayuran, ayam dan telur berikutan kenaikan harga barang di sekitar Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

DI Thailand, harga minyak masak botol 1 kilogram (kg) dilaporkan dijual hingga 70 baht – bersamaan hampir RM9.

Penduduk di Indonesia juga berdepan masalah sama walaupun republik itu membekalkan 60 peratus minyak sawit dunia.

Lebih parah, minyak gorengan curah (seperti minyak peket subsidi Malaysia) berlaku ‘kemarau’ sehingga menjadi satu isu besar di negara tetangga kita.

Bergoncang dari awal tahun sehingga sekarang, malah telah ada menteri hilang jawatan kerana isu tersebut.

Ini bukan mudah untuk uruskannya, minyak sawit di pasaran global naik dan terus naik sejak 2021 lagi.

Tetapi untuk pasaran runcit domestik, sukar untuk penduduk di negara pengeluar membayar harga mengikut pasaran global.

Ini menyebabkan pemerintah Indonesia membuat intervensi melalui pelbagai cara.

Paling ketara apabila meletakkan harga siling 14,000 rupiah (RM4.15) sekilo. Ini memerlukan subsidi dan beberapa perkara pentadbiran lagi.

Seperti dijangka, urusannya tidaklah licin dan ini mengundang rak jualan minyak sawit di kedai runcit dan pasar raya seluruh Indonesia hampir kosong.

Lesap entah ke mana minyak gorengan curah itu termasuk ketika Ramadan lalu.

Jika ada, dijual lebih 14,000 rupiah dan peniaga memberi alasan sama, sama seperti kedengaran ketika tinjauan harga ayam di pasar sekitar Kuala Lumpur.

Hal ini mengundang kenyataan daripada menteri bertanggungjawab mengenai kewujudan mafia minyak sawit Indonesia.

Menjadi perbualan hangat, siapa mafia minyak sawit? Dahsyat. Di Malaysia kita bercerita tentang kartel tetapi menteri di negara jiran, istilah mafia digunakan.

Tidak cukup itu, diumum pula larangan eksport minyak sawit dan menteri perdangan yang bertangungjawab bekalan minyak masak digugur.

Namun harga minyak goreng curah tidak juga mampu diturunkan kepada 14,000 rupiah seperti disasarkan kerajaan. Yang botol pula 26,000 rupiah.

Cumanya dilaporkan bekalan bertambah baik tetapi dijual pada harga sedikit lebih daripada yang dikehendaki kerajaan.

Sebagai kerajaan sudah tentu akan berusaha untuk menjaga kepentingan rakyat walaupun sukar untuk melawan arus hukum pasaran.

Baca: Harga makanan dunia naik 30 peratus lapor FAO, moga RON95 kita kekal

Langkah intervensi berterusan kerajaan yang sangat melegakan

Bagi Ketua Hubungan Antarabangsa Pertubuhan Sawit Indonesia, Dr Fadhil Hasan, harga minyak masak tidak boleh dikawal sebaliknya diserahkan kepada pasaran untuk menentukan bagi menjamin bekalan tidak terganggu.

Bercakap kepada Straits Times Singapura, Dr Fadhil berkata, bagi membantu rakyat berpendapatan rendah, kerajaan hendaklah bantu mereka dengan pemberian tunai langsung.

Katanya, campur tangan dalam pasaran bebas akan menyebabkan gangguan dan hasil positif yang dikehendaki juga tidak bertahan lama.

“Dalam berdepan kenaikan minyak sawit ini, kerajaan perlu mengambil polisi yang straight foward.

“Biarkan mengikut harga pasaran. Tapi bantu golongan memerlukan dengan pemberian tunai langsung untuk menyerap kenaikan harga barang keperluan,” katanya.

Subsidi minyak masak dalam peket dikekalkan tetapi dalam botol tidak diteruskan mulai 1 Julai ini. Sebelum ini subsidi untuk minyak masak berbotol disalurkan kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan ketika pandemik. GAMBAR: Abd Razak Aid

Di Malaysia, kerajaan mengekalkan subsidi minyak masak peket, tetapi tidak lagi untuk minyak masak botol.

Sudah tentu ini mengikut keperluan rakyat. Minyak masak peket digunakan kebanyakan orang. Walaupun kegunaan isi rumah tetapi restoran, kedai makan juga menggunakannya.

Harganya pula RM2.50 sekilo. Memang sangat murah, tiada siapa boleh sangkal. Sebab itu subsidi yang dikeluarkan kerajaan sangat besar, RM4 bilion tahun ini berbanding RM2.2 bilion tahun lalu.

Baca: Subsidi minyak masak peket masih diteruskan – PM

Penguatkuasaan dilipat ganda elak ketirisan minyak masak subsidi

Sungguh pun ada masa-masanya terdapat aduan bekalan minyak masak peket, namun tidaklah berlarutan lama. Sebabnya kerajaan sedia menambah jumlah subsidi apabila ada tambahan permintaan.

Malah jumlah bekalan minyak subsidi dibekalkan melebihi permintaan – bagi menampung pengguna yang beralih dari botol ke peket.

Ini menunjukkan kerajaan tetap membuat intervensi walaupun sulit demi meringankan beban rakyat Malaysia dalam berdepan kenaikan harga makanan yang menjadi fenomena global ketika ini.

Cerminan dasar Keluarga Malaysia yang pada masa sama kerajaan menambah pula jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Ini setelah tiada lagi subsidi ayam dan telur bulan depan susulan beberapa isu pentadbiran.

Baca: Harga siling ayam, telur dan subsidi minyak masak kemasan botol tidak diteruskan

Kerajaan tambah bantuan tunai buat penerima BKM – PM

Seperti diumum, jumlah bantuan diberikan ada yang mencecah RM2,500 setahun yang keseluruhan melibatkan 8.6 juta penerima.

Tambahan ini adalah bentuk pemberian tunai langsung kepada golongan memerlukan atau dipanggil subsidi bersasar – bersasar kepada golongan memerlukan seperti mana tujuan asal subsidi.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau bekalan barangan keperluan termasuk minyak masak peket bersubsidi di sebuah pasar raya di Lembah Klang hari ini./Gambar FB KPDNHEP

Inilah pandangan ahli ekonomi tetapi pada masa sama kerajaan Malaysia tetap menyalur subsidi sebagai contoh dalam minyak masak peket.

Ya, ada cabaran buat KPDNHEP bagi memastikan bekalannya tidak terganggu, lebih-lebih lagi ketika di negara jiran kita berganda harganya.

Begitu juga barangan harian lain termasuk ayam selepas tiada lagi subsidi bulan depan, tutuplah ruang pengambilan untung berlebihan. Akta sudah ada.