Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa (tengah).

ISU pendedahan kes curi balak di hutan simpan kekal (HSK) Kelantan membawa kepada tuntutan saman fitnah Syarikat Al Dar Resources dan pemiliknya kepada Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa.

Bagaimanapun, Husam menyifatkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada masa sama, beliau menegaskan ia merupakan cubaan untuk menghalang terdedahnya kegiatan menyalahi undang-undang pihak yang masih belum ditentukan terlibat dalam kes curi balak di kompartmen 25 HSK Nenggiri.

Sehubungan itu, Husam memaklumkan telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman tersebut.

Menurut beliau, tindakan saman itu adalah pramatang memandangkan siasatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu tebangan balak secara haram di kompartmen 25 dan 26 Nenggiri bersebalahan kawasan kerja plaintif adalah belum lagi konklusif.

“Saya hanya menerima writ saman dari Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Iskandar yang mewakili Encik Mohd. Haffiz bin Mohd. Rasdin pada petang semalam melalui serahan tangan kepada pembantu rumah saya.

“Saman ini merupakan satu gangguan terhadap tugas-tugas saya sebagai pemimpin masyarakat dalam menjalankan tugas melindungi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Ini bukan soal politik, ini jenayah, kata Husam ulas pembalakan di Kelantan

Mengulas lanjut, Husam turut memberi jaminan bertanggungjawab atas dakwaan dan pertanyaannya berkaitan kes kecurian balak di kompartmen terbabit termasuk dua rencana yang dirujuk.

Malah, beliau berkata tidak akan berganjak dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan Kelantan serta memastikan semua pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Saya tegaskan sepanjang tulisan saya yang dirujuk dalam saman berkenaan sama sekali tidak bersifat fitnah ke atas plaintif.

“Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan penafian oleh kerajaan negeri atau agensinya mengenai pemberian kontrak pembalakan, perlombongan dan pemaju Bandar Perabot di mana plaintif mempunyai kepentingan atau mendapat manfaat.

“Menjadi amalan dalam sistem demokrasi berparlimen atau dewan undangan negeri untuk pihak-pihak yang berkaitan dengan tanggungjawab memberikan maklum balas atas pertanyaan, kritikan dan urusan berkaitan kepentingan awam,” jelas beliau.

Husam berkata demikian sebagai memberi reaksi terhadap saman yang dikemukakan syarikat Al Dar Resources Sdn Bhd dan pemiliknya yang memfailkan dua saman terhadapnya, menuntut ganti rugi RM60 juta atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Dua saman itu dibuat oleh plaintif, Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta dan pemilik syarikat berkenaan, Mohd Haffiz Mohd Rasdin yang menuntut ganti rugi RM10 juta.

Tuntutan saman terbabit dibuat menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu dengan menamakan Husam Musa sebagai defendan.

Peguamnya, Azeel Eskandar Azmi berkata, saman terbabit dibuat susulan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Husam menerusi Facebook pada 3 dan 6 Jun lalu, yang disifatkan memfitnah syarikat anak guamnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram