“Demi Allah saya tak memijak perut, mencekik, menendang dan menumbuk. Semua tuduhan itu karut.”

Demikian pengakuan aktor popular Sharnaaz Ahmad susulan kes tahanan reman berhubung dakwaan melakukan kekerasan terhadap seorang penghuni di sebuah kondominium di Segambut, dua minggu lalu.

Menurut Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad,37, kejadian itu timbul sewaktu dia ingin meleraikan pergaduhan antara seorang penghuni dengan pengawal keselamatan kediaman terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kepada yang buat spekulasi mengatakan saya panas baran, tunggu cerita sebenar…,” – Sharnaaz Ahmad , [VIDEO] Selepas dibebaskan, Sharnaaz Ahmad ubati rindu bertemu dengan Jebat Jayden

“Saya turun dan melihat satu pergaduhan sedang berlaku yang mana penghuni itu bertengkar kerana tidak dibenarkan membawa masuk minyak masak.

“Saya cuba mempertahankan pengawal keselamatan berkenaan kerana tidak boleh melihat orang ditindas tak kira agama dan bangsa.

“Di sini saya menegaskan tidak memijak atau menendang perut individu berkenaan ataupun mencekik dan menumbuknya. Itu semua karut dan saya yakin saya tidak buat.

“Sebelum keputusan mahkamah keluar, saya akan terangkan secara ringkas dan padat supaya pihak tertentu boleh faham,” katanya.

Terdahulu, pada 20 Jun lalu, Sharnaaz dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Jun atas dakwaan memukul dan menendang seorang penghuni di kondominium di Segambut dua minggu lalu.