Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN Persekutuan mengambil langkah proaktif untuk memperkasa sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah.

Jelas beliau, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar
Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri bagi aktiviti pertanian.

“Ini menerusi pewartaan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah
Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

“Selain itu, memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: FELDA proaktif sokong dasar Sekuriti Makanan Negara, perkenal pelbagai inisiatif

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan.

Jelas beliau, Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut berkenaan hal tersebut.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berlangsung hari ini juga membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur
komunikasi di seluruh negara.

“Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM)
mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa
tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.

“Penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram