PELAKON antarabangsa Sandra Bullock mengumumkan bahawa dia telah membuat keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan selepas kejayaan filem The Lost City.

Memetik laporan The Star, salah satu sebab mengapa pelakon berusia 57 tahun itu berbuat demikian adalah untuk memberi sepenuh perhatian kepada anak-anaknya iaitu Louis, 12, dan Laila, 10.

Apabila dipersoal mengenai tempoh dirinya berehat, pelakon Bird Box itu memberitahu bahawa dia sendiri tidak tahu sampai bila.

“Saya tidak mahu terikat dengan jadual sesiapa selain jadual saya sendiri.

“Saya sangat penat dan letih sehingga saya sendiri tidak mampu membuat keputusan yang sihat dan juga bijak. Saya tahu itu semua.

“Saya sendiri tidak tahu sampai bila saya akan berehat. Kerja sentiasa stabil untuk saya dan saya sangat bertuah.

“Kemungkinan pekerjaan ini akan menjadi tongkat saya,” katanya menerusi sesi temu bual bersama The Hollywood Reporter.

Memetik laporan New York Daily News, Bullock pernah mendedahkan cadangannya untuk berehat sambil mempromosikan filem The Lost City pada Mac dahulu.

“Saya sangat serius apabila bekerja. 24 jam saya serius di tempat kerja. Sekarang, saya mahu 24 jam itu bersama anak-anak dan keluarga saya.

“Dan kita tak tahu berapa lama atau berapa singkat, tetapi di situlah saya akan berada untuk seketika ini,” ujarnya.

Untuk rekod, sehingga artikel ini ditulis, filem The Lost City telah mencecah kutipan sebanyak 100 juta dollar Amerika Syarikat untuk ‘box office’ Amerika Utara.