HAMPIR 20 tahun bergelar anak seni, aktres jelita Nora Danish akui memasang impian untuk duduk di kerusi pengarahan selain ingin memiliki syarikat produksi sendiri.
Malah, Nora turut melahirkan rasa kagum terhadap pelakon dan pengacara, Janna Nick yang masih muda namun sudah memberanikan diri untuk bergelar pengarah dan penerbit.
“Saya kagum dengan Janna Nick. Saya baharu sahaja selesai penggambaran dengan dia menerusi karya sseram, Tangisan Pontianak. Saya kagum dan bangga melihat cara dia mengarah.
“Cara dia tu macam dah sangat berpengalaman. Dia ada karisma dan hala tuju yang tersendiri yang membautkan saya sendiri sangat terpegun.
“Saya tanya sendiri pada Janna, apa pengalamannya sebelum ini…ada masuk kelas mengarah ke? Dia kata tak ada dan semua itu hadir kerana minat.
“Kalau dia boleh, maknanya saya pun boleh. Dia beri inspirasi kepada saya walaupun usianya masih muda,” katanya ketika ditemui URTV baru-baru ini di ibu kota.
Justeru itu, fokus Nora kini ingin merealisasikan cita-citanya untuk mengusahakan syarikat produksi sendiri dan berharap hasratnya itu akan tercapai.
“Jika nak beralih ke fasa seterusnya, saya akan teruskan juga dalam bidang industri seni sebab ini dah memang minat saya.
“Sekarang ini selain berlakon, fokus saya tertumpu ke arah dunia penerbitan dan pengarahan.
“Saya nak buka syarikat produksi sendiri dan aktif terbitkan karya-karya menarik selain ingin jadi pengarah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nora mendedahkan ingin melakonkan watak ‘hopeless romantic’ yang betul-betul kena dengan jiwanya.
“Sehingga ke saat ini saya masih belum dapat watak ‘love story’ yang betul-betul kena dengan jiwa saya.
“Walaupun saya dah 40 tahun, tapi saya masih belum mahu bersara daripada dunia seni. Banyak lagi perkara yang belum saya kecapi,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

