APLI Yusoff dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu berkuat kuasa 18 Julai lalu.
Berusia 52 tahun, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dilantik menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Berkelulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1994, Apli memegang pelbagai jawatan korporat antaranya Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia dan Ahli Lembaga Pengarah MARA Incorporated Sdn Bhd.
Selain itu, Apli juga aktif dalam persatuan sukan di peringkat negeri di samping merupakan pemimpin UMNO di peringkat bahagian.
PTPTN dalam kenyataan itu berharap dengan pengalaman tersebut, Apli akan dapat membantu PTPTN menjadi sebuah agensi kerajaan yang disegani, sekali gus merealisasikan usaha menjadi peneraju tabung pendidikan utama negara.
PTPTN turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Saiful atas sumbangan dan bakti sebagai Pengerusi PTPTN mulai 18 Jun 2018 sehingga 17 Jun 2022.

Baca: Wan Saiful sahkan kontrak Pengerusi PTPTN berakhir
Sementara itu, Apli menerusi Facebook miliknya merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pengajian Tinggi atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui PTPTN.
“Satu pengiktirafan kepada rakyat Terengganu dan satu amanah yang besar demi pembangunan ummah.
“Saya percaya sahabat-sahabat boleh membantu saya dengan memberi pandangan terutama di dalam memperkasakan lagi PTPTN,” kata Apli yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus.
Menerusi hantaran tersebut, beliau turut memuat naik gambar yang difahamkan sesi penyerahan surat pelantikan Pengerusi PTPTN oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Memetik laman Facebook Media Penerangan UMNO Terengganu, penyerahan surat itu berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen semalam.