Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Hospital Al-Sultan Abdullah di UiTM Puncak Alam, hari ini. GAMBAR: Facebook rasmi Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam menghasilkan kaedah perubatan dan vaksin tersendiri bagi menghadapi cabaran akan datang.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UiTM bertitah agar hospital tersebut dapat mencipta kaedah perubatan yang boleh menaikkan nama pusat perubatan itu selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Beta mencabar pengurusan hospital ini menghasilkan kaedah perubatan atau vaksin sendiri dan bukan sekadar perkhidmatan yang ada ketika ini.

“Inilah antara harapan beta, jangkaan ini bersangkutan dengan nama beta di sini. Beta berharap perjalanan dan urusan hospital ini akan menjadi antara yang terbaik di Selangor khususnya, Malaysia amnya,” titah baginda sempena majlis perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah, di UiTM Puncak Alam, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baca artikel berkaitan: Agong kurnia watikah kepada empat duta baharu, tiada Tajuddin

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda juga amat terharu dan berbangga hospital itu dinamakan atas nama baginda dan berharap perkhidmatannya kepada rakyat dapat terus dipertingkatkan.

“Walaupun hospital ini berada jauh di mata (Selangor), tetapi ia dekat di hati beta. Beta berharap perkhidmatan hospital dapat dipertingkatkan dan namanya lebih terserlah lagi nanti,” titah baginda.

Hospital tersebut mula beroperasi pada 5 April 2021 dengan menyediakan perkhidmatan kepada warga secara berperingkat, melibatkan perkhidmatan Klinik Pakar Perubatan, Klinik Pakar Wanita & Kanak-Kanak, Klinik Pakar Pembedahan & Ortopedik dan Klinik Pakar Psikiatri.

Pusat perubatan berkeluasan 18.4 hektar itu turut dilengkapi 400 katil pesakit selain mengetengahkan reka bentuk binaan bangunan yang mengambil ilham daripada elemen molekul air zam-zam.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram