Jenazah kelima-lima mangsa kemalangan di Gerik semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Butterworth petang ini./Gambar BERNAMA

MEMORI menghadiri konvokesyen menjadi kenangan terakhir bagi Muhammad Naim Mohd Rodhi sebelum ibu dan bapanya maut dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

Anak bongsu berusia 26 tahun itu berkata dia menerima panggilan daripada ahli keluarganya pada petang semalam yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut yang turut mengorbankan kakak, abang ipar dan anak saudaranya.

“Saya terkejut dan tidak sangka mereka semua terlibat dalam kemalangan itu. Kali terakhir saya berjumpa dengan ibu dan ayah sewaktu mereka menghadiri majlis konvokesyen saya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebulan lalu.

“Masa tu saya tidak nampak apa-apa perubahan ayah dan ibu. Saya reda dengan takdir yang menjemput mereka,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu dalam keadaan sedih ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang semalam, lima yang maut ialah Mohd Rodhi Othman, 64, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32 dan Zara Hana Ahmad Khomaini, enam tahun apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki bertembung dengan trak pikap Toyota Hilux.

Baca: Kanak-kanak lima tahun antara lima maut nahas di Gerik

Hilux didapati masuk laluan bertentangan – Polis

Difahamkan sebelum itu keluarganya dalam perjalanan pulang ke Butterworth selepas menghantar ahli keluarga mereka mendaftar masuk di sebuah sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan awal pagi semalam.

Muhammad Naim yang bekerja sebagai penjaga padang di Shah Alam, Selangor berkata kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Butterworth petang ini.

Sementara itu, seorang lagi keluarga mangsa, Ahmad Afif Baba, 30, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan abangnya, Ahmad Khomaini pada Hari Raya Aidiladha di Dungun, Terengganu baru-baru ini.

“Saya mendapat berita kemalangan itu daripada kakak ipar saya dari Kuala Kangsar dan saya difahamkan mereka dalam perjalanan balik dari Kelantan ke Pulau Pinang. “Saya reda dan terima suratan takdir ini,” katanya.

Dalam pada itu suasana muram menyelubungi Unit Forensik, Hospital Gerik apabila ahli keluarga mangsa datang untuk menuntut jenazah mangsa sejak awal pagi tadi.

Kelihatan juga Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood yang membantu untuk mempercepatkan urusan menuntut jenazah dan menurutnya, empat van digunakan bagi membawa jenazah sejak jam 11.30 pagi tadi untuk dikebumikan di Sungai Dua, Butterworth.

Dalam pada itu, Astro Awani melaporkan, jenazah kelima-lima mangsa tiba di masjid di Sungai Dua kira-kira jam 12.56 tengah hari.

Suasana pilu menyelubungi ruang masjid apabila anak mangsa dan ahli keluarga yang lain tidak dapat menahan perasaan sebaik menatap wajah kesemua mangsa buat kali terakhir.

Jenazah yang sudah siap dikafankan disembahyangkan selepas solat zohor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Hj. Abd Rashid, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.