Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid./ Gambar Bernama

POLIS menahan pasangan suami isteri dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM2 juta pada Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 34  tahun itu di sebuah pusat makanan di Jalan Raja Musa Mahadi manakala wanita warga Vietnam berusia 38 tahun itu ditahan di tepi jalan sekitar Panorama Lapangan Perdana pada kira-kira 4.40 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki menemukan 10 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan susulan telah dilakukan di sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh dan menjumpai 10 bungkusan plastik disyaki dadah jenis sama.

“Polis turut menyita seutas jam tangan berjenama, rantai kaki, sebentuk cincin serta seutas rantai tangan manik. Anggaran jumlah keseluruhan harta yang disita bernilai RM83,315,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.

Baca artikel berkaitan: 11 Koperal, Lans Koperal positif dadah

Mior Faridalathrash berkata, ujian air kencing ke atas suspek lelaki yang bekerja di kedai cermin dan aluminium di sini, didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita yang tidak bekerja itu didapati negatif dadah serta kedua-duanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 200,000 penagih dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang aktif mengedar sejak tiga bulan lepas direman seminggu sejak Jumaat lepas sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa dan polis akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah dari semasa ke semasa,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram