MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan, bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Ong Ka Chuan turut diberi sumbangan politik oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar syarikat tersebut dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata pihaknya memberi sumbangan politik masing-masing berjumlah RM1.162 juta kepada Shahril Sufian, Chan (RM7.85 juta) dan Ong (RM922,820).

Beliau berkata kod nama yang digunakan di dalam buku lejar tersebut bagi merujuk ketiga-tiga ahli politik itu adalah ‘S Pat’ untuk Shahril Sufian, Chan (‘Prof’) dan Ong (‘OKC’).

BERITA BERKAITAN Permohonan injunksi Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin didengar 8 Ogos

Ketika ditanya Hamidi, adakah Shahril Sufian rakan baik kepada Wan Badak (bekas Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani) dan KJ (Khairy Jamaluddin), saksi itu menjawab: “Betul”.

Hamidi: Dia dibayar setiap bulan daripada lejar itu?

Tan: Betul.

Hamidi: Ia untuk dana politik dan pilihan raya umum?

Tan: Ya.

Tan juga bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa sumbangan politik kepada Shahril Sufian tersebut kerana Naib Ketua Pemuda UMNO itu mempunyai hubungan baik dengan Wan Quoris Shah dan Khairy.

Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong semasa pemeriksaan semula, mengapa tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kenyataan beberapa ahli politik yang menafikan pernah menerima sumbangan politik daripada UKSB, Tan berkata memandangkan wang telah diberikan dan prosiding mahkamah sedang berjalan, beliau tidak berhasrat berbuat demikian.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

— BERNAMA