TREND jualan secara ‘cedok-cedok’ yang semakin banyak terutama di platform TikTok termasuk dalam jual beli yang dilarang kerana mengandungi unsur gharar (ketidaktentuan), jahalah (ketidaktahuan) dan perjudian.
Justeru, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berpendapat jual beli secara ‘cedok-cedok’ itu adalah tidak dibolehkan dan tidak sah.
Dalam artikel terbaharu di portal Maktabah Al-Bakri, Zulkifli berkata, jual beli tersebut mirip dengan jual beli mulasamah dan munabazah.
“Bukan itu sahaja, ia dilihat seolah-oleh bergantung kepada nasib semata-mata dan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya dengan harga setimpal dengan apa yang telah dibayar.
“Situasi ini telah melanggar prinsip jual beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan),” katanya dalam artikel tersebut.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, jual beli seperti itu juga tetap tidak diharuskan syarak walaupun pembeli menyatakan reda dengan kaedah sedemikian.
Baca artikel berkaitan: Jualan ‘cedok-cedok’ tingkatkan risiko penipuan dalam talian
Ini kerana, kata beliau, ia sebagaimana keredaan pemain judi akan menang atau kalah.
Selain itu, beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, jual beli sedemikian juga adalah bentuk moden daripada beberapa jenis jual beli yang pernah ditegah dan diharamkan Rasulullah SAW.
“Justeru, kami mengambil kesempatan menasihati semua agar menjauhi jual beli seperti ini.
“Apatah lagi di sana terdapat banyak lagi jual beli yang jauh lebih baik dan bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan,” jelas beliau.
Trend jual-beli secara cedok-cedok semakin mendapat perhatian ketika ini di mana peniaga akan mempromosi barang-barang yang hendak dijual kepada pengikutnya di laman sosial.
Menerusi trend itu, pelbagai barangan seperti gula-gula, kerongsang dan alat solek dijual secara siaran langsung di media sosial dengan peniaga mencedok barangan menggunakan senduk, bakul atau mangkuk serta dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM1,000 setiap cedok.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

