Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad GAMBAR: Abd Razak Aid

ISU penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) telah dibincangkan dengan Kementerian Kewangan.

Malah, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, beliau sendiri telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan.

Jelas Idris, beliau telah bertemu dengan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memaklumkan hasrat dan rayuan itu untuk pertimbangan selanjutnya. 

“Kita buat rayuan kepada Kementerian Kewangan. Insya-Allah kita cuba atasi kerana semua itu kena ikut peraturan.

“Bukan kita tidak mahu jaga guru KAFA.rayuan kepada MOF juga sebagai langkah membela nasib guru KAFA dan membantu mereka dalam apa juga cara,” katanya semalam memetik laporan Bernama.

Baca artikel berkaitan: TH tiada kaitan isu kartel, visa furada – Idris Ahmad

Terdahulu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilapor mengesahkan keputusan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari kepada guru KAFA seperti yang diumumkan pada Januari lalu, sebagai mematuhi saranan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan memandang serius terhadap isu berkaitan penghinaan agama Islam dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pelaku.

Jelas beliau, pihaknya telah mendapat kerjasama baik daripada pihak polis untuk menangkap individu yang terlibat dengan perbuatan tersebut.

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak tegas terhadap mereka yang menghina Islam.

“Dakwaan bahawa kerajaan tidak bertindak tegas hanya bertujuan memanipulasi isu dan mengeruhkan keadaan.

“Undang-undang yang sedia ada cukup untuk bertindak dan beberapa individu terbabit dalam kes penghinaan terhadap agama Isla telah dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram