SERAMAI 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meneruskan pengajian di pusat pengajian tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhan pinjaman PTPTN adalah berjumlah RM 66.87 bilion sehingga kini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah penting untuk setiap peminjam PTPTN untuk melakukan pembayaran semula kepada perbadanan itu bagi menjamin kesinambungan buat generasi masa hadapan.
“Suka saya tekankan di sini bahawa tindakan membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar-pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara.
“Saya difahamkan, sehingga akhir bulan lepas, lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion.
“Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang komited membuat bayaran balik.
“Bagi yang belum berbuat demikian, saya menasihatkan supaya melunaskan pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majls Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN hari ini.
Baca artikel berkaitan: Pengerusi PTPTN: Apli Yusoff ganti Wan Saiful
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM 3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Selain itu, jelas beliau, kerajaan juga mewujudkan inisiatif Simpan SSPN sejak 2004 bagi memastikan Keluarga Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman semata-mata dan tidak terbeban di kemudian hari.
“Simpan SSPN telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan keseluruhan deposit simpanan berjumlah RM 12.5 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 5.4 juta sehingga akhir bulan lepas.
“Pelancaran Kelab Simpanan Pendidikan pula adalah untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak dan memupuk kesedaran pentingnya menabung demi masa depan melalui Simpan SSPN,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram