PEMBELIAN petrol atau diesel dengan kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan permit khas.
Itu jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi susulan isu tular notis awam melarang orang ramai membeli bahan api menggunakan tong dram yang menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat.
Bagaimanapun, Alexander memberitahu, pembelian petrol dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas memerlukan permit khas.
Kata beliau, pengeluaran permit khas itu tertakluk kepada mana-mana syarikat berskala kecil, organisasi atau individu yang layak untuk membeli petrol dan diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan persendirian di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut Alexander, permit khas itu adalah percuma dan tidak dikenakan apa-apa bayaran serta terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan.
“Mana-mana pihak yang telah diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui permit khas ini boleh menggunakan tong dram, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang telah diluluskan.
“Sehingga kini, antara pihak yang telah mendapat permit khas daripada kementerian adalah pengguna forklift, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk di kawasan pedalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Hapuskan subsidi petrol kurang beban kerajaan – PPIM
Mana-mana pihak yang ingin memohon permit khas boleh membuat permohonan melalui sistem Mysubsidi Permit Khas secara dalam talian di permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran.
Beliau yang menjawab laporan di media arus perdana berhubung larangan pembelian bahan api petrol dan diesel menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas tanpa kebenaran, berkata peruntukan undang-undang Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, setiap stesen minyak mesti mempunyai lesen mengikut akta terbabit bagi membolehkan ia berurusniaga dengan minyak petrol dan diesel.
“Antara syarat yang ditetapkan bawah lesen terbabit adalah mana-mana stesen minyak tidak dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali ia menggunakan tangki asal kenderaan berkenaan atau yang diluluskan oleh agensi berkaitan dan dijual kepada mana-mana pihak yang mendapat kebenaran daripada pihak KPDNHEP bawah peruntukan undang-undang AKB 1961,” katanya.
Semalam, satu portal berita melaporkan notis awam yang dikeluarkan kementerian itu melarang orang ramai membeli bahan bakar berkenaan menggunakan tong dram menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak.
Laporan itu antara lain menyatakan orang ramai tidak berpuas hati dengan keputusan KPDNHEP meregulasikan pembelian bahan bakar bersubsidi berkuatkuasa 17 Jun lalu kerana dikatakan tidak adil kepada nelayan dan pemotong rumput.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

