Bendera Perikatan Nasional GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh memenuhi terma perjanjian dengan gabungan tersebut.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gabungan itu memutuskan untuk menghantar delegasi untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Menurut beliau, pertemuan tersebut bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian tersebut dalam masa terdekat.

Hamzah berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang diadakan semalam.

“Mesyuarat melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.

“PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Perjanjian jawatan TPM, Abdul Hadi perlu rujuk Takiyuddin

Mesyuarat MT PN itu telah dipengerusikan Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri semua presiden-presiden parti.

Ia termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee serta ahli-ahli MT PN.

Awal bulan ini, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Muhyiddin dengan Perdana Menteri mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Hamzah memaklumkan, mesyuarat tersebut turut membuat ketetapan mengenai majlis pelancaran PN Terengganu yang akan diadakan Sabtu ini.

Pada masa sama, Konvensyen PN juga akan diadakan pada 27 Ogos sempena ulang tahun kedua gabungan itu di samping beberapa ketetapan penting bagi memperkemas kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram