Sebahagian daripada perwakilan yang hadir sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERHIMPUNAN Agung Khas UMNO pada 15 Mei lalu meluluskan secara rasmi usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Dan dua hari kemudian, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan menyerahkan notis pindaan perlembagaan parti kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Bagaimanapun perkara itu kemudian menjadi polemik ‘lulus atau tidak’ kerana selepas lebih dua bulan, masih belum ada kata muktamad daripada RoS.

Kelulusan RoS itu juga menjadi perhatian ramai kerana dikatakan menjadi salah satu ‘ukuran’ bilakah tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hari ini, tanda tanya itu dijawab dengan khabar gembira buat pucuk pimpinan UMNO selepas apa dihajati diluluskan RoS.

Baca: UMNO harap RoS beri keputusan selewatnya 31 Julai

Ini bermakna, pemilihan UMNO berikutnya adalah selepas PRU-15, tanpa mengira bila PRU diadakan – selain kepimpinan UMNO berada dalam status quo untuk memasuki gelanggang PRU seperti dihasrat pihak tertentu.

Ahmad yang berkongsi perkara itu berkata, RoS menerusi surat yang diterimanya petang ini telah meluluskan permohonan UMNO dengan sedikit pindaan.

“RoS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen (Dewan Rakyat).

“RoS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat).

Baca: UMNO lulus usul pinda Perlembagaan tangguh pemilihan

“Ini bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU-15 diadakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad pada masa sama memaklumkan kelulusan RoS itu berkuat kuasa pada tarikh 29 Julai 2022.

Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, beliau ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO.