Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, silat telah memainkan peranan besar dalam memastikan budaya Melayu terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.

Menurut Perdana Menteri, seni silat juga terbukti mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar melalui ratusan ribu ahlinya dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

Sehubungan itu, katanya, budaya persilatan yang telah lama bertapak ini perlu dikekalkan agar dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Seni silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri, tetapi ia juga membentuk keterampilan dan jati diri mereka yang mempelajarinya.

“Malah, ia juga mendidik pengamalnya supaya tidak mudah mengalah dan berjiwa besar, selain sentiasa menyemai dan menyemarakkan semangat perjuangan pejuang silam,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada menutup Kejuaraan Silat Sedunia ke-19 Tahun 2022 di MITC Melaka malam ini.

Ismail Sabri dalam ucapan itu turut mengumumkan pemberian dana RM1 juta kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bagi mengembangkan seni silat di persada dunia.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Presiden Pesaka, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.

Baca: Penangan Mat Kilau, jualan tanjak dan permintaan kelas silat meningkat

Sementara itu, menurut beliau, semua pihak patut berbangga kerana dunia persilatan Melayu telah menyaksikan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah telah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

Terbaharu, katanya, Pesaka dan Jabatan Warisan Negara berjaya menyenaraikan silat sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), satu lagi pengiktirafan tertinggi buat Malaysia.

Kata beliau, seni silat seharusnya menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini yang membentuk karakter peribadi dan disiplin bagi sesiapa yang mengamalkannya.

“Saya berharap seni silat akan terus dipraktikkan oleh generasi masa kini dan akan datang supaya ia kekal dimartabatkan dan terus relevan sepanjang masa,” jelasnya.

Ujar Ismail Sabri, baru-baru ini, tayangan filem ‘Mat Kilau’ telah mencetuskan fenomena di negara ini yang diinspirasikan daripada perjuangan dan keberanian pahlawan Mat Kilau dalam menentang penjajahan.

Impak filem itu katanya, begitu luar biasa, bukan hanya mencatat kutipan sehingga RM90 juta dalam tempoh 33 hari ditayangkan, malah kepada persatuan silat apabila menerima banyak ahli baharu yang berminat untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini.

“Saya difahamkan terdapat persatuan silat yang menerima pendaftaran lebih 40 pelajar baharu, berbanding hanya empat atau lima orang pelajar dalam tempoh setahun sebelum ini.

“Ini jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang yang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk mengenalinya secara mendalam,” katanya.