KETIKA ini status rumah tangga kakak kepada pelakon dan pengacara Neelofa iaitu Noor Nabila terus menjadi tanda tanya apabila dia bertindak memadam semua gambar bersama suaminya, Engku Emran di Instagram.
Menguatkan desas-desus perkahwinan mereka sedang berdepan masalah apabila Nabila turut memadam gambar-gambar perkahwinan mereka di platform media sosial berkenaan.
Sebenarnya, isu keretakan rumah tangga mereka sudah mula ‘dihidu’ netizen bulan lalu apabila tiada gambar Engku Emran bersama Nabila ketika sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Spekulasi itu semakin kuat itu apabila usahawan berusia 37 tahun itu ada memuat naik luah di Instagram Story dengan berkongsi kata-kata daripada Jade Torres yang memberi bayangan hubungan mereka sedang diuji.
Sebelum ini Nabila ada membuat kenyataan mengenai dirinya yang jarang berkongsi foto suami di media sosial kerana mahu menjaga privasi keluarganya sekaligus menyangkal hubungan mereka sedang berdepan konflik.
Sementara itu, hasil tinjauan URTV di Instagram Engku Emran, gambar dirinya bersama Nabila masih ada di akaun media sosialnya. Dia juga masih mengekalkan gambar profil bersama Nabila. Malah, mereka juga turut mengikuti media sosial masing-masing.
Menerusi ruangan komen, rata-rata warganet mendoakan yang baik-baik dan berharap pasangan ini dapat menyelesaikan masalah dengan harmoni.
Walau bagaimanapun, menerusi forum hiburan, ramai netizen sudah mula membuat spekulasi jika pasangan ini sudah tidak sehaluan kerana Nabila bertindak memadam gambar bersama di media sosial sudah cukup membuktikan mereka kini tidak tinggal bersama.
Untuk rekod, pasangan ini bernikah pada 19 Mac 2021 dalam majlis serba ringkas yang hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan rapat.
Nabila sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 dan bercerai pada 9 Julai 2020. Hasil hidup bersama, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden, 4 tahun.
Sementara itu, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 2017 sebelum berpisah pada 2020.
Dalam pada itu, aktres Erra Fazira turut pernah bergelar isteri kepada Engku Emran sebelum mereka sepakat bercerai. Hasil perkawhinan itu, mereka dikurniakan anak tunggal, Engku Aleesya yang kini berusia 13 tahun.

