Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

Dari Penulis

SELEPAS dua tahun, pengadang yang dipasang pihak berkuasa Arab Saudi bagi melindungi kawasan sekeliling Kaabah di Masjidilharam dialihkan.

Arahan itu dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam menerusi satu dekri Diraja menjelang permulaan musim umrah baharu.

Saudi Gazette melaporkan, Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata, langkah itu menunjukkan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah serta pelawat Masjidilharam menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan selamat.

Ini didorong oleh peningkatan kehadiran umat Islam sempena musim baharu umrah.

“Pihak kami sedang bekerjasama dengan kesemua sektor beroperasi di Masjidilharam untuk menerima kedatangan jemaah dan menyediakan segala perkhidmatan dan kemudahan diperlukan,” katanya.

Bermula 1 Julai 2020, pengadang terbabit ditempatkan di sekeliling Kaabah berikutan arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus, sebagai langkah mencegah penularan pandemik COVID-19.

Ia bagi menghalang jemaah haji dan umrah serta pelawat daripada menyentuh mahupun mencium Kaabah dan Hajarul Aswad.

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan jemaah dari luar negara yang mahu menunaikan umrah, tidak lagi perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan pantas antigen atau Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk memasuki Arab Saudi.

Bagaimanapun kementerian itu memaklumkan, insurans bagi menampung kos rawatan sekiranya dijangkiti COVID-19, masih menjadi antara syarat kemasukan jemaah dari luar negara untuk menunaikan umrah.

Tempoh tinggal bagi umat Islam yang datang dengan visa umrah adalah 90 hari sahaja.

Mereka boleh melakukan pergerakan dan perjalanan antara Mekah dengan Madinah serta semua bandar lain di Arab Saudi sepanjang tempoh berkenaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Tambang percuma LRT3, bas pengantara sebulan mulai esok – Anwar

ORANG ramai boleh menikmati perkhidmatan percuma Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok...

More Articles Like This