Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. GAMBAR: Abd Razak Aid

BAKAT serta kebolehan dimiliki pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi yang menduduki tempat kelima dalam acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Dunia B-20 perlu terus digilap.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu penting bagi memastikan lebih banyak kejayaan dapat dicipta atlet kelahiran Perak itu pada masa akan datang.

Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan terus berusaha menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara.

Ahmad Faizal turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas kejayaan dirakam Muhammad Azeem.

“Apa yang lebih membanggakan, kejohanan kali ini secara tidak langsung menyaksikan Muhammad Azeem berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada sesi saringan dengan catatan masa 10.09s.

“Sesungguhnya ia merupakan satu pencapaian mengujakan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjalanan karier beliau selaku wira atlet muda negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tempat kelima di dunia, terima kasih Malaysia – Azeem Fahmi

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut memaklumkan KBS sedang mempertimbang untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh yang juga merupakan sekolah Muhammad Azeem.

Kata beliau, ia bertujuan melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga.

“Untuk makluman, SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster sukan yang telah melahirkan banyak atlet termasuk Muhammad Azeem,” jelas beliau.

Muhammad Azeem mencipta sensasi di bumi Cali, Colombia selepas berjaya menempatkan diri sebagai pelari kelima terpantas dunia pada Kejohanan Olahraga Dunia B-20, pagi tadi waktu Malaysia.

Dalam saingan final di Stadium Olimpik Pascual Guerrero, atlet berusia 18 tahun itu merekodkan 10.14s.

Saingan itu diungguli atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencatatkan 9.91s sekali gus memecahkan rekod dunia B-20 milik atlet Amerika Syarikat, Trayvon Bromell pada tahun 2014.

Rekod dicipta atlet berusia 19 tahun itu menyaksikan beliau meninggalkan pelari Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie dengan catatan 10.02 di tempat kedua manakala Benjamin Richardson dari Afrika Selatan di tempat ketiga.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram