Dr. Mahathir buka mulut, jawab empat soalan Mohamed Apandi

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

TUNTUTAN melibatkan kes Pulau Batu Puteh telah ditarik balik pada Mei 2018 adalah disebabkan perjanjian negara dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Singapura.

Itu kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab satu daripada empat persoalan yang dikemukakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam Facebook, bulan lalu.

Menurut Dr. Mahathir, perjanjian dengan ICJ dan Singapura telah menetapkan segala keputusan oleh mahkamah akan diterima kedua-dua pihak.

Beliau berkata, perjanjian sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan ICJ berkenaan Pulau Sipadan serta Ligitan.

Dr. Mahathir menegaskan, Indonesia boleh membuat tuntutan tidak menepati perjanjian sama mengenai Pulau Sipadan dan Ligitan sekiranya Malaysia tidak menepati syarat mahkamah antarabangsa berhubung keputusan Batu Puteh.

Kata beliau, kesalahan telah bermula apabila pegawai Kerajaan Negeri Johor menyatakan kepada British bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik Johor.

“Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti.

“Lagi pun, Malaysia mendapat Batuan Tengah yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang dilakukan dengan Pulau Layang-Layang.

“Fakta baru, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Puteh adalah hak Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tindakan Mohamed Apandi ‘bersekongkol’ dengan Jho Low mencurigakan – Tun M

Bekas Perdana Menteri menjawab soalan dikemukakan Mohamed Apandi yang bertanya mengapa tuntutan kes tersebut ditarik balik pada Mei 2018, hanya dua minggu sebelum tarikh bicara di The Hague.

Ia adalah antara empat soalan Mohamed Apandi kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu melalui laman Facebook pada 23 Julai lalu.

Menjawab soalan mengapa Peguam Negara sewaktu pentadbiran beliau iaitu Tan Sri Tommy Thomas diarah menjawab surat tuntutan ke atas Sabah oleh pewaris Kesultanan Sulu, Dr. Mahathir berkata, tuntutan itu dibuat semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegas Dr. Mahathir, kerajaan BN tidak bertindak menolak kuasa mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan.

“Tuntutan oleh pewaris Kesultanan Sulu dibuat apabila Malaysia memberhentikan bayaran tiap-tiap tahun kononnya kerana serangan orang Sulu ke atas Lahad Datu. Semasa bayaran diteruskan mengikut perjanjian tidak ada masalah dengan pewaris.

“Tidak ada bukti bahawa tindakan Najib telah dipersetujui oleh Peguam Negara pada masa itu atau Kabinet. Najib bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran,” katanya.

Mengenai soalan mengapa kerajaan Malaysia telah membuat penyelesaian secara persetujuan di atas kes pemecatan tidak sah terhadap Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara, Dr. Mahathir menjawab, pemecatan itu disebabkan Mohamed Apandi memutuskan bahawa Najib tidak membuat apa-apa kesalahan berkenaan pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, sedangkan seluruh dunia mengetahui tentang perkara tersebut dan abatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) turut menyatakan secara terbuka bahawa terdapat pencurian wang 1MDB oleh ‘MO1’ iaitu Najib.

“Semua ini menunjukkan bahawa Mohamed Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Perbuatan Apandi menunjukkan bahawa beliau tidak berpegang kepada ‘Rule of Law’ dan tidak sesuai menjadi Peguam Negara.

“Memang pun kerajaan berhak untuk menamatkan pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan daripada jawatannya,” tegasnya.

Berhubung soalan terakhir Mohamed Apandi bahawa anak-anak Dr. Mahathir menjadi jutawan, Ahli Parlimen Langkawi itu mencabar Mohamed Apandi supaya memberikan bukti anak-anak beliau menjadi jutawan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Malah, beliau menegaskan, anak-anaknya tidak dibenarkan berniaga dengan kerajaan atau menyertai parti kerajaan.

“Jika ada anak yang jadi jutawan, sila beri bukti tarikh gelaran ini diberi kepada mereka serta bukti kejutaan mereka.

“Jika tidak ada bukti saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang,” tegas Dr. Mahathir.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Dua lelaki didakwa pasang skimmer ATM, cuba curi data pelanggan bank

TAKTIK licik dua lelaki tempatan memasang peranti skimmer pada mesin juruwang automatik (ATM) bagi mencuri maklumat perbankan pelanggan berjaya...

More Articles Like This