Setiausaha Agung PN yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok bagi membincangkan tentang pelaksanaan terma perjanjian antara gabungan itu dengan kerajaan.

Memetik laporan BH Online, perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

Menurut Hamzah, beliau sendiri akan menjadi wakil PN dalam pertemuan tersebut.

“Insya-Allah, saya akan bertemu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, esok hari,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bila PN akan menghantar delegasi bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian antara kerajaan dengan gabungan itu.

Baca artikel berkaitan: PN kecewa PM tak bersungguh penuhi terma perjanjian

27 Julai lalu, PN melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh memenuhi terma perjanjian dengan gabungan tersebut.

Sehubungan itu, Hamzah dalam kenyataan memaklumkan gabungan itu akan menghantar delegasi untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri semua presiden-presiden parti gabungan itu.

Awal bulan lalu, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Muhyiddin dengan Perdana Menteri mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin sebelum itu mengesahkan bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan lantikan jawatan baharu, termasuk jawatan TPM, selain beberapa perkara penting berlandaskan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram