SEBUAH jawatankuasa diarahkan menyiasat isu melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen, baru-baru ini.
Arahan itu dikeluarkan Kabinet kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Memetik laporan BH Online, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut telah dibincangkan Jemaah Menteri bagi memastikan siasatan dilaksanakan jawatankuasa khas.
Kata beliau, ada pihak mencadangkan supaya jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Namun begitu, Perdana Menteri berkata, keputusan ahli yang bakal menganggotai jawatankuasa khas itu akan ditentukan oleh Mohd. Zuki.
“Kabinet setuju meminta KSN melihat perkara ini dan menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman bagi menyiasat perkara ini.
“Kita kena berlaku adil kepada semua pihak… yang mengadu dan diadukan itu, jadi kita serahkan jawatankuasa itu yang ditentukan KSN nanti.
“Saya harap siasatan ini cepat, jangan terlalu lama kerana ia bukan susah sangat, ada video diedarkan dan panggil saksi kedua belah pihak.
Baca artikel berkaitan: Dakwaan KPPA tengking pegawai Imigresen tidak tepat
“Kita bincang ini dalam Kabinet kerana kita tidak mahu timbul perpecahan dalam kakitangan kerajaan dan suasana harmoni dikekalkan,” katanya.
KPPA didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lalu.
Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya menafikan tuduhan KPPA mengeluarkan kata-kata kesat itu.
Jabatan tersebut turut menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej Mohd. Shafiq sebagai pegawai tinggi kerajaan.
JPA memaklumkan KPPA hanya menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya pegawai bernama James Lee berikutan ketidakpatuhan amalan dan prosedur apabila pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan serta pasportnya dan delegasi ke luar negara.
Kenyataan itu menyebut, delegasi terbabit diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan Kastam untuk meneruskan perjalanan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

