
FILEM Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof disifatkan menjadi fenomena industri seni kerana Malaysia ketandusan pemimpin yang memainkan peranan teguh seperti digambarkan dalam filem tersebut.
Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh berkata, watak Mat Kilau yang dilakonkan Datuk Adi Putra dilihat menjadi role model kepada anak muda zaman kini.
Menurut beliau, karakter Mat Kilau yang berjuang tanpa ada kepentingan peribadi mendorong penonton untuk menyelami kehebatan wira tanah air itu.
“Saya nak sebut perkara agak sensitif tapi saya tak kisah, saya orang pencen politik.
“Filem ini mendapat sambutan luar biasa kerana mengikut tafsiran sosiologi pada waktu ini, kita sangat ketandusan pemimpin. Pemimpin yang ada waktu ini bercakaran, berbalah dan sebagainya.
“Itu bacaan sebahagian dan saya rasa ini yang tersirat dalam filem Mat Kilau.
“Kita menunggu seseorang atau sekumpulan orang dan tiba-tiba beliau hadir menjadi model atau contoh,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Pahlawan Mat Kilau dinobat Tokoh Maal Hijrah Pahang
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam Bicara Persada Ke-62 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama Syamsul dan seorang lagi Pengarah, Penerbit dan Pelakon hebat, Datuk Rosyam Nor.
Forum bertajuk Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat itu turut menampilkan Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar yang bertindak selaku moderator.
Sementara itu, Syamsul menyifatkan Mat Kilau sebagai seorang pahlawan Islam yang boleh diangkat umpama ‘super hero’ seperti dilakukan industri filem Barat menerusi Superman dan sebagainya.
Syamsul turut berkongsi tekad asalnya mahu membawa Mat Kilau sebagai model contoh kepada golongan belia masa kini.
“Saya nak jadi penggiat filem yang bijak, kita tahu seni itu sangat luas dan tiada betul atau salah untuk kita menghakimi.
“Pada saya, apa yang penting ketika menghasilkan filem itu adalah rasa. Kalau kita makan nasi goreng contohnya, yang penting rasa itu sampai atau tidak.
“Filem adalah propaganda dan bagaimana kita nak sampaikan mesej itu kepada penonton tetapi yang penting bagaimana mahu menarik mereka ke pawagam.
“Kita banyak dibesarkan dengan agenda Barat yang tanpa sedar disebarkan melalui filem dan melalui Mat Kilau ini, saya bertekad supaya golongan muda mengenali siapa sebenarnya pahlawan kita ini,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram