“Bila dah berumur ini saya lebih takut kepada kematian.”
Demikian kata aktres Nora Danish yang mengaku mengalami anxiety atau keresahan melampau dek kerana terlalu banyak berfikir seiring dengan pertambahan usia.
Ujar pelakon berusia 40 tahun itu, dia tidak berjumpa dengan pakar kesihatan sebaliknya hanya membuat carian di Internet untuk meredakan anxiety yang dihidapinya.
“Rawatan tak ada sangat tapi saya lebih banyak kepada membaca. Sekarang ini dekat media sosial dah banyak orang berkongsi kata-kata motivasi jadi saya selalu tengok dan baca.
“Punca anxiety bukan disebabkan netizen tetapi lebih kepada kalau saya naik kapal terbang, saya akan banyak fikir (terhempas). Saya seorang yang emosional, sangat sensitif.
“Dua perkara ini boleh menjadi faktor saya berfikir berlebihan. Selalunya persepsi kita, bila terlalu fikirkan sesuatu mesti benda-benda keburukan sebenarnya tidak.
“Tapi saya akan cepat-cepat salurkan fikiran itu sebagai ‘super power’ saya. Orang lain tak ada, tapi saya ada. Bukan apa, terlalu banyak berfikir ini bukan saja menyakiti hati saya saja, malah turut melukai orang yang berada di sekeliling,” katanya kepada URTV.
Tambah Nora, setiap kali dia perlu menaiki kapal terbang, dia pasti akan menghubungi ibunya untuk berpesan mengenai harta peribadinya.
“Saya akan buat wasiat dan apa yang patutlah… telefon mak saya dah beritahu harta saya dekat sini dan semualah. Tapi itulah, lama-lama saya sendiri kena ‘push’ diri.
“Mungkin sebab Perintah Kawalan Pergerakan yang agak lama dan tidak boleh ke mana-mana, anxiety jadi semakin sebati dalam diri saya,” ujarnya lagi.
Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran filem Kan Cheong di GSC Starling Mall, semalam.

Filem arahan Noor Azlan Shah itu mengangkat isu besar yang semakin berleluasa bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Hampir setiap hari, kita akan mendengar atau membaca berita mengenai masalah kesihatan mental yang bukan sahaja merosakkan harta benda malah hingga meragut nyawa.
Justeru, menerusi Kan Cheon yang juga merupakan terbitan sulung Thinkerbell Studios tentang bahayanya masalah ini sekiranya ia tidak mendapat perhatian sewajarnya di kalangan masyarakat.
Melakonkan watak sebagai Ayu, Nora menganggap watak sebagai seorang gadis naif, lembah-lembut dan penakut serta dalam masa sama seorang yang mental sebenarnya banyak menguji dirinya.
“Masalah sakit mental ini kalau kita tidak dirawat dan juga diambil perhatian betul-betul jadi itulah jadinya membunuh sampai meragut nyawa jika kita tidak di ambil perhatian. Itulah cabaran yang saya rasa untuk nak menghayati watak Ayu.
“Ini merupakan kali pertama saya berlakon dalam naskhah psiko thriller dan pembunuhan. Filem ini mengisahkan tentang Ayu yang tinggal sendirian mendengar berita mengenai empat orang pesakit mental yang lari dari hospital.
“Saya tidak buat rujukan sebelum melakonkan watak Ayu sebab di Malaysia ini kita diberi masa yang agak suntuk. Kita tidak ada masa untuk jalani sesi latihan dan mmebuat kajian.
“Dekat lokasi penggambaran baharu kita akan kenal barisan pelakon. Memang kena cepat. Saya tak rasa susah nak tukar emosi daripada perempuan yang normal kepada psiko walaupun banyak bermain dengan emosi,” kongsinya.
Selain Nora, Kan Cheong yang akan ditayangkan mulai esok (Khamis) di Astro First itu turut dibintangi oleh Niezam Zaidi, Jay Iswazir dan Shima Anuar.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

