SEJAK mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi penekanan kepada pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis bagi menangani ketidaktentuan yang melanda negara.
Kaedah responsif, bertanggungjawab dan reformis itu sekali gus telah berjaya membantu memulihkan ekonomi negara yang ‘tercalar’ ekoran penularan pandemik COVID-19.
Pentadbiran kerajaan ketika ini bersifat responsif membantu rakyat dan perniagaan untuk bangkit semula.
Pada masa sama, sikap tanggungjawab ditonjolkan kerajaan Ismail Sabri bagi memastikan kesemua dasar adalah tepat dan cepat tanpa mengorbankan potensi pertumbuhan ekonomi akan datang.
Sikap reformis yang diterapkan sebaik mungkin oleh kerajaan juga bagi memastikan isu-isu struktur ditangani dalam membina daya tahan masa depan.
Berdasarkan dokumen taklimat khas sempena setahun pentadbiran Ismail Sabri pada 4 Ogos lalu, ekonomi negara berdepan pemulihan kukuh didorong oleh dasar kerajaan Keluarga Malaysia.

Tanda-tanda pemulihan jelas kelihatan susulan kelonggaran sekatan pergerakan dan pembukaan semula sektor ekonomi.
Ia juga disokong oleh jualan perdagangan borong dan runcit serta kenderaan bermotor yang terus meningkat.
Selain itu, prospek perdagangan luar juga terus mengukuh di samping aliran pelaburan langsung asing bersih yang menggalakkan.
Semenjak suku keempat 2021, ekonomi Malaysia terus menunjukkan pemulihan kukuh dan kekal berdaya saing.
Ini dibuktikan apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) terus menunjukkan pemulihan sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021 diikuti pertumbuhan 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini walaupun berdepan pelbagai cabaran sejak Ogos 2021.
Secara keseluruhan, dasar ekonomi yang responsif itu telah meletakkan negara di landasan pemulihan kukuh dengan kerajaan menaruh keyakinan Malaysia dapat mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3 hingga 6.3 peratus KDNK tahun ini.

Baca artikel berkaitan: Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19
Pelbagai inisiatif direncana kerajaan termasuk JanaKerja dan JaminKerja juga telah menyaksikan pasaran buruh terus menunjukkan penurunan kadar pengangguran.
Lebih mengagumkan, sebanyak 558,633 pekerjaan telah dicipta tahun lalu melalui pelbagai inisiatif merangkumi pendekatan senegara, walaupun pada asalnya kerajaan menyasarkan penciptaan 500,000 pekerjaan.
Berbanding kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020, kadar pengangguran pada bulan April dan Mei telah kekal pada tahap 3.9 peratus.
Malah, negara telah merekodkan kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 melanda iaitu 3.8 peratus pada bulan Jun lalu.
Indeks Kos Sara Hidup 2021 yang dikeluarkan World Data pula menyaksikan kos sara hidup Malaysia berada pada tahap 38.8 mata, iaitu 60 peratus lebih rendah berbanding China dan Singapura.

Dalam kalangan negara-negara ASEAN pula, kos sara hidup di Singapura, Brunei dan Filipina adalah lebih tinggi berbanding Malaysia.
Walaupun kos sara hidup di negara ini sedikit tinggi berbanding Thailand, Indonesia dan Vietnam, namun perbezaan itu tidak melebihi lima peratus.
Peningkatan harga barangan termasuk minyak masak dan ayam telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.
Namun begitu, dasar bertanggungjawab kerajaan telah membuatkan harga barangan kawalan tersebut tetap berada jauh di bawah negara-negara lain termasuk Thailand, Filipina dan Indonesia.
Umum mengetahui penularan pandemik COVID-19 serta ketidaktentuan geopolitik global telah menyumbang kepada tekanan inflasi di seluruh dunia.
Bagaimanapun, dasar proaktif dimainkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri telah berjaya mengawal tekanan inflasi negara daripada terus melonjak naik.
Kadar inflasi pada bulan Jun lalu menyaksikan Malaysia berada pada tahap 3.4 peratus, lebih rendah berbanding negara serantau dengan Thailand merekodkan 7.7 peratus; Singapura (6.7 peratus) dan Indonesia 4.3 peratus.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober tahun lalu merupakan belanjawan pertama yang mengambil kira konsep Keluarga Malaysia dibawa Ismail Sabri.
Secara dasarnya, Bajet 2022 bertema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera menyaksikan RM332.1 bilion diperuntukkan iaitu nilai tertinggi dalam sejarah itu dirangka oleh rakyat dan dilaksanakan bagi kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Segala manfaat yang direncana jelas membuktikan Bajet 2022 tidak langsung mengetepikan mana-mana golongan Keluarga Malaysia.
Meskipun begitu, anggaran Bajet 2022 dijangka meningkat dengan ketara disebabkan peningkatan subsidi dan bantuan sosial yang mendadak.
Sebagai kerajaan bertanggungjawab, jumlah keseluruhan subsidi dijangka mencecah RM77.7 bilion, jauh lebih tinggi berbanding RM31 bilion semasa Bajet 2022 dibentangkan.
Langkah dilaksanakan kerajaan itu mengambil kira tanggungjawab mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup seluruh Keluarga Malaysia ekoran kenaikan harga komoditi dunia.
Dengan pelbagai perancangan dan inisiatif, maka jelaslah setahun pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri membawa makna besar kepada Keluarga Malaysia walaupun berhadapan rintangan dan cabaran.
Pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis yang diterapkan mampu membawa negara keluar daripada kemelut tekanan ekonomi global.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

