Lanun insurans rompak Baucar Perlindungan Tenang besar-besaran?

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

PROGRAM Baucar Perlindungan Tenang (PTV) merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli produk insurans.

Untuk rekod, program ini dilancarkan pada September tahun lalu dengan kerjasama syarikat insurans dan pengendali takaful.

PTV bertujuan untuk meluaskan perlindungan sosial kepada golongan B40 dengan baucar RM75 diberikan untuk tempoh setahun.

Baucar Perlindungan Tenang pada awalnya menawarkan skim vantuan kewangan sebanyak RM50 sebelum ditambah kepada RM75.

Semak Baucar Perlindungan Tenang di pautan ini : https://www.myptv.my/

Begitupun, program bantuan yang diberikan kepada rakyat khususnya golongan B40 ini telah dihidu ‘lanun insurans’.

Manakan tidak, lanun-lanun insurans ini licik merompak hak penerima baucar tersebut dengan taktik melakukan penebusan baucar tanpa kebenaran dan pengetahuan pemilik.

Lebih menakutkan, lanun-lanun insurans ini mempunyai data peribadi penerima baucar berkenaan dan menggunakan data tersebut untuk melakukan penebusan secara senyap-senyap.

Berdasarkan perkongsian seorang daripada mangsa dengan UtusanTV, beliau menyedari haknya (baucar Perlindungan Tenang) dirompak ketika membuat semakan kelayakan Julai lalu.

Jelas mangsa, apabila memasukkan nombor kad pengenalannya, keputusan semakan mendapati beliau layak menerima baucar tersebut.

Malangnya, baucar tersebut telah ditebus dan digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai lanun insurans.

Mangsa kemudiannya telah membuat aduan terhadap pusat panggilan myptv.my dan mendapat nasihat untuk membuat aduan lanjut melalui e-mail kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Selepas dua hari membuat aduan, mangsa dihubungi seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah wakil dari PIAM.

Lelaki tersebut mengatur pertemuan dengan mangsa dengan alasan untuk menyiasat secara terperinci berhubung kes penebusan baucar tanpa kebenaran itu.

Mangsa kemudian bersetuju untuk berjumpa dan kemudian lelaki tersebut datang bersama seorang teman (juga lelaki) di lokasi pertemuan.

Menurut perkongsian mangsa, lelaki tersebut pada awalnya memaklumkan dia mewakili PIAM dan akan menyelesaikan masalah tersebut dan mencari dalang disebalik kes itu.

Menurut lelaki itu, baucar Perlindungan Tenang milik mangsa sememangnya telah ditebus dan telah digunakan untuk membeli produk insurans dari sebuah syarikat.

Lelaki itu kemudian memujuk mangsa agar tidak membatalkan polisi insurans tersebut dengan alasan ia sama seperti insurans-insurans yang lain.

Begitupun, mangsa tidak bersetuju dengan lelaki tersebut dan mahu aduan yang dilakukan kepada PIAM diteruskan.

Lelaki itu kemudian memberi satu borang yang didakwanya sebagai borang pembatalan langganan insurans kepada mangsa.

Begitupun, setelah meneliti borang tersebut, ia sebenarnya borang untuk membatalkan aduan secara rasmi terhadap PIAM dan bersetuju untuk meneruskan langganan polisi insurans berkenaan.

Seorang lagi lelaki (teman kepada lanun insurans) tersebut pula dilihat cuba mengambil gambar mangsa secara senyap-senyap namun disedari mangsa.

Dipendekkan cerita, kedua-dua lelaki tersebut pulang dengan penuh kecewa apabila mangsa tetap bertegas untuk membatalkan pembelian produk insurans yang menggunakan baucar miliknya tanpa kebenaran.

Timbul persoalan seberapa banyak manakah baucer ini dirompak lanun-lanun insurans ini tanpa pengetahuan ramai?

Bagi baucar yang digunakan untuk membeli produk insurans, siapakah penerima manfaat sekiranya berlaku sesuatu kepada penama insurans tersebut?

Yang paling menakutkan, bagaimana lanun-lanun insurans ini mendapat data peribadi orang ramai untuk melakukan rompakan besar-besaran ini?

Bukankah terdapat kebarangkalian data peribadi yang dirompak ini turut digunakan untuk tujuan jahat yang lain?

Adakah tembok perlindungan data peribadi kita sangat rapuh yang membuatkan lanun-lanun ini berani merompak secara besar-besaran?

Info PTV dari laman web https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/baucartenang.html

PTV adalah skim bantuan kewangan untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.

Melalui program ini, baucar RM75 diberi kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 yang layak bagi membantu mereka membeli produk Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen.

Bermula pada 1 Januari 2022, baucar RM75 diperuntukkan untuk penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang layak untuk membeli/menyertai produk Perlindungan Tenang atau memperbaharui pelan Perlindungan Tenang yang sedia ada.

Penerima BKM juga dibenarkan untuk menebus baucar RM75 untuk pembelian insurans/takaful motor komprehensif untuk motosikal 150cc dan ke bawah (dibawah Fasa 2 PTV, butiran lanjut akan diumumkan kelak).

Mulai 15 Julai 2022, penerima BKM yang layak boleh menebus baucar RM75 dengan hanya membayar minimum RM5.

Ini untuk memastikan penerima BKM mengetahui sepenuhnya tentang pelan insurans/takaful yang telah mereka beli/sertai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Petisyen ‘Remove Rohingya from Malaysia’ raih 319,546 tandatangan

PETISYEN 'Remove Rohingya from Malaysia' yang menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau menempatkan mereka semula di...

More Articles Like This