Ainul Mardhiah ditidurkan dan diberikan bantuan alat pernafasan bagi mengawal sawan, serta merehatkan otaknya. GAMBAR FAIL

KANAK-kanak perempuan yang pernah mendapat perhatian ramai kerana ketumbuhan pada mulutnya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin diuji lagi hari ini selepas dilaporkan tenat awal bulan ini.

Anak kesayangan pasangan Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani Zaidi itu diberikan bantuan alat pernafasan, serta ditidurkan bagi mengawal sawan, serta merehatkan otaknya.

Menerusi catatan Facebook Ahmad Safiuddin, dia memaklumkan anak perempuannya nampak sangat penat selepas diserang sawan panas banyak kali.

“Saya doa semoga Allah SWT bukakan jalan dan bimbing para doktor cari punca masalahnya. Doktor semua sedang berusaha keras mencari jalan rawatan yang terbaik, saya saksikannya. Kakak-kakak misi pun semua jaga Ainul dengan baik.

“Kita usaha, kita doa dan akhir sekali, kita kena sedar bahawa Allah SWT jua lah pemilik segala kesembuhan dan kesihatan. DIA kalau nak bagi, tidak ada satu tangan pun boleh halang. Begitu juga jika DIA nak tarik nikmat nikmat yang ada dalam hidup kita hari ini,” katanya.

Catatan itu sehingga berita ini ditulis setakat pukul petang ini, menerima lebih 10,000 emoji dan dikongsi lebih 504 kali.

Kebanyakan komen warganet mendoakan agar keluarga kanak-kanak itu terus tabah dan tidak berputus dengan dugaan yang melanda mereka.

Ahmad Safiuddin dalam hantaran itu juga berkata, dia reda dan pasrah dengan ujian yang menimpanya sekeluarga.

Namun dia menegaskan tidak akan berputus asa dan tidak akan berhenti berdoa.

“Apa yang bakal berlaku, saya percaya itu lah yang terbaik dari-Nya,” tambahnya.