SYARIKAT pengimport aiskrim perisa vanila jenama Haagen-Dazs telah menarik balik produk tersebut di pasaran secara sukarela. GAMBAR: Media sosial

SYARIKAT pengimport aiskrim perisa vanila jenama Haagen-Dazs telah menarik balik produk tersebut di pasaran secara sukarela kerana mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) melebihi tahap dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan sewajarnya itu telah dilakukan pihak pengimport sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima Kementerian Kesihatan (KKM), Julai lalu.

Menurut beliau, KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs itu daripada pasaran Eropah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

Dr. Noor Hisham berkata, ia berdasarkan laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed (EURASAFF).

“Notifikasi tersebut menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari negara Perancis yang mengandungi ekstrak vanila dari Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap dibenarkan.

“Produk aiskrim tersebut juga telah diedarkan ke beberapa buat negara termasuk Malaysia.

“Sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima KKM, tindakan sewajarnya telah diambil di mana syarikat yang mengimport telah menarik balik produk aiskrim terlibat di pasaran secara sukarela,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Ini kisah kon aiskrim, ciptaan simple yang jadi fenomena di seluruh dunia

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, pemantauan berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan produk tersebut tidak dipasarkan di negara ini.

Jelasnya, ETO merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Dr. Noor Hisham memaklumkan, bahan kimia tersebut juga digunakan sebagai bahan aktif dalam pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna masih merasa ragu-ragu akan produk berjenama terlibat yang dijual, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat; menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram