Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: BERNAMA

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), hari ini.

Peruntukan itu yang disalurkan sempena ulang tahun PERTAMA ke-51, tahun ini sebagai menghargai peranan dan sumbangan wartawan wanita dalam pembentukan negara bangsa.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut berharap persatuan itu dapat terus membantu kerajaan dalam meningkatkan tahap profesionalisme kewartawanan negara.

Perdana Menteri berkata, petugas media juga memainkan peranan penting menyebarkan berita benar bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Katanya, banyak pihak sengaja mengelirukan masyarakat dengan memberikan maklumat tidak benar berhubung situasi semasa ekonomi negara.

“Hari ini terdapat kekeliruan daripada pihak tertentu yang mengatakan kerajaan gagal, ekonomi merudum, rakyat tidak mampu berbelanja, pengangguran meningkat.

“Ada cubaan buat protes dan ‘flashmob’ yang kata ekonomi makin teruk, selain ia turut diperkatakan di media sosial tapi perkara sebenar adalah sebaliknya.

“Justeru melalui puan-puan, berita yang benar perlu disebarkan supaya rakyat tidak keliru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Wanita Malaysia sempena ulang tahun ke-51 Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).

Baca artikel berkaitan: Bajet 2023 beri penekanan kebajikan Keluarga Malaysia – PM

Menurut beliau, kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan kaum wanita termasuk anggota PERTAMA yang telah banyak berjasa terhadap arus pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, perkara tersebut dapat dilihat apabila kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Wanita Negara (MWN); Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara (JEWN) dan Jawatankausa Kerja Wanita Negeri (JKWNi) bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan hingga negeri pada akhir tahun lalu.

“Sewaktu Hari Wanita, saya turut mengumumkan kebenaran bekerja di rumah (BDR) bagi wanita yang kematian suami mengikut tempoh yang bersesuaian.

“Baru-baru ini, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat juga berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara untuk dikuatkuasakan secara berperingkat mengikut fasal,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberitahu turut mengarahkan penyertaan golongan wanita dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

Sehingga kini, beliau berkata, sebanyak 210 syarikat sendirian berhad telah mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat daripada 900 syarikat sendirian berhad.

Katanya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga telah meminda senarai keperluan Bursa Malaysia untuk mewajibkan semua syarikat yang tersenarai mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah wanita.

“Ini merupakan komitmen kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu pihak media termasuklah PERTAMA.

“Saya merasakan wanita di negara ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram