Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“SAYA sangat kecewa dan terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan memasukkan bukti baharu.”

Itu kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas usahanya mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International Sdn. Bhd. bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ditolak Mahkamah Persekutuan.

Najib mendakwa, permohonannya untuk memasukkan bukti tentang kedudukan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dalam Kumpulan Maybank sebelum ini memang mempunyai konflik kepentingan.

Menurut Najib, Mohd. Nazlan sememangnya mempunyai pengetahuan peribadi tentang semua transaksi berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

“Saya percaya bukti jelas menunjukkan hakim (Mohd) Nazlan sangat memiliki konflik (kepentingan).

“Beliau pastinya mengetahui tentang semua transaksi 1MDB dan SRC International serta mempunyai pengetahuan peribadi mengenai kedua-dua entiti ini.

“Saya juga percaya penyiasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyedari fakta ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Nazlan yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib berhubung tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram pada 28 Julai 2020.

Terdahulu, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu setelah mendengar hujahan peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

Baca artikel berkaitan: Rayuan terakhir Najib didengar Khamis ini – Tengku Maimun

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka bukti baharu

Bukti tambahan yang ingin dikemukakan Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa Mohd. Nazlan pada 2006 adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Mohd Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.

Tengku Maimun berkata mahkamah memutuskan bahawa Najib gagal melepasi tahap tinggi Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mengandungi undang-undang mengenai bukti baharu.

Tengku Maimun berkata peranan Mohd Nazlan sebelum ini dalam Maybank diketahui umum dan akan terbuka kepada pemohon untuk membuat sebarang permintaan untuk pendedahan dokumen itu melalui tindakan selanjutnya.

Selepas penghakiman dibacakan, Hisyam memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat baru-baru ini.

Bagaimanapun, panel lima hakim itu menolak permohonan berkenaan dan mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka pada pukul 9.30 pagi, Khamis ini.

Lain-lain panel hakim dalam pendengaran hari ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dalam menyampaikan penghakimannya Tengku Maimun menetapkan bahawa permohonan yang dibuat oleh Hisyam bagi tempoh penangguhan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, ditolak sebulat suara, kerana hak bagi perbicaraan yang adil tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram