DI Amerika Syarikat (AS), tidak ada sambutan kemerdekaan 4 Julai di peringkat nasional.
Sebaliknya, komuniti yang menghidupkan hari kemerdekaan menerusi pelbagai acara yang memberi makna kepada hari penting tersebut.
Presiden Joe Biden pada 4 Julai lalu antara lain mengisinya dengan mengadakan majlis barbeku bersama veteran tentera di White House.
Di kawasan perumahan pula meriah dengan penyertaan ahli komuniti pelbagai peringkat umur. Malah ada acara lumba makan hotdog yang menjadi tradisi mereka selain perarakan.
Pentadbiran bandar pula lazimnya menyediakan pertunjukan bunga api, satu lagi tradisi penting. Semuanya bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara di samping hari untuk bergembira.
Hal yang sama juga boleh dirasai di Indonesia, dari sudut warganya menyambut ulang tahun kemerdekaan yang jatuh pada tanggal 17 Ogos.
Tidak perlu seruan mahu pun penyaluran dana kerajaan untuk menjayakannya kerana semuanya dikelolakan dari komuniti sendiri bagi menunjukkan semangat patriotik.
Justeru, semalam adalah hari merah putih. Ucapan tahniah di sepanduk dengan slogan Pulih Lebih Cepat, Bangkit Lebih Kuat menghiasi segenap ceruk.
Di atas rasa syukur kemerdekaan sebuah negara bernama Republik Indonesia, warganya menyusun pelbagai aktiviti – yang menjadi tradisi zaman berzaman.
Sebenarnya beberapa hari sebelumnya lagi pelbagai acara disusun di peringkat komuniti. Ada majlis kesyukuran. Hidangan tumpeng seumpama pulut kuning perlu ada.
Selain simbol kemenangan, bahagian atas tumpeng akan disajikan kepada orang berjasa yang ada di kampung atau kawasan perumahan.
Tidak terkecuali ada panggung seni dihidupkan. Semuanya atas satu tujuan iaitu bergembira menyambut 17 Ogos.
Pagi hari kemerdekaan, anak-anak ke sekolah meski cuti umum kerana ada sambutan di peringkat sekolah.

Pulang sahaja ke rumah, sudah ada acara lain pula menanti khususnya sukan rakyat anjuran Rukun Tetangga. Dari lari dalam guni, lumba terompah panjang sehingga tarik tali.
Pendek cerita hari 17 Ogos adalah hari bergembira dengan seluruh masyarakat sama-sama meraikanya seolah-seolah hari raya, kata Eko Raharjo.
Eko, 58, yang juga Ketua Rukun Warga 07, Cepete Utara, Jakarta Selatan berkata, mereka mewarisi acara ini sudah turun-temurun.
“Semua menyambutnya kerana kita mahu bergembira di hari kita bebas daripada penjajahan,” katanya kepada UtusanTV yang mengikuti delegasi Ikaatan Setiakawan Warawan Malaysia-Indonesia (Iswami).
Malah bagi premis komersial yang beroperasi pada cuti umum merdeka seperti hotel, mereka turut sama menghidupkan hari ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-77.

Tradisi mereka dengan menganjurkan pertandingan-pertandingan ibarat sukaneka melibatkan kakitangan dan temamu.
Selain ramai berbaju T bertemakan kemerdekaan, deko merah putih menyerlahkan lagi semangat Indonesia yang ternyata memaknai 17 Ogos.
Dan di arena online juga tidak terkecuali. Ini termasuk pelbagai promo diadakan mengingatkan 17 Ogos.
Tawaran-tawaran menarik oleh pemilik perniagaan menambah seri 17 Ogos. Misalnya sajian pizza bertemakan warna rasmi Indonesia dan ia bukan hanya gimik kerana ditawarkan pula potongan separuh harga.
Itu antara contoh bagaimana 17 Ogos disambut tanpa perlu pendekatan dari atas ke bawah.
Semuanya sudah dalam diri warganegara bagaimana untuk menyemarakkan hari istimewa tersebut dengan acara kesyukuran dan kegembiraan.
Di Malaysia pula, akhir bulan ini adalah hari istimewa kita. Bagaimanapun, kementerian berkenaan masih perlu membuat seruan kepada rakyat kerana kelaziman warga kita bergantung kepada acara-acara oleh kerajaan.
Jika ada pun, promosi beli-belah sempena merdeka, tapi itu pun banyak didorong pertimbangan komersial.

Masih ingat butir ucapan Tan Sri Annuar Musa yang menyeru kepada penglibatan segenap lapisan dalam acara-acara berkaitan hari kebangsaan dan Hari Malaysia kelak.
Baca: Sambutan Hari Kebangsaan perlu libat keluarga, komuniti
Ulang tahun merdeka: ISWAMI ucap tahniah kepada rakyat, pemimpin Indonesia
Kata beliau, penyertaan di peringkat komuniti dan keluarga supaya tema dan konsep sambutan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang diterapkan kali ini, dapat dirakyatkan sepenuhnya.
“Ini penting kerana sambutan tidak seharusnya hanya bersifat majlis besar yang dilaksana di peringkat nasional, sebaliknya, perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti dari pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara.” kata Menteri K-KOMM itu.
Yang baik, wajar kita contohi kerana Hari Kebangsaan adalah hari kemenangan kita semua sebagai warganegara sebuah negara berdaulat.
Nikmat bebas daripada penjajahan cukup besar.
Apatah lagi ada kala dalam percintaan, tidak cukup sekadar apa di jiwa tetapi juga harus disusuli dengan lafaz dan perbuatan.

