SEBAGAI jiran terdekat, menjadi lumrah hubungan yang terjalin ada masa-masanya diuji. Tidak terkecuali dalam konteks hubungan dua negara Malaysia-Indonesia.
Namun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, situasinya tidak lagi seperti mana pada dekad-dekad lalu.
Sekitar awal dekad 2000, pantang ada sahaja inisiden, pekarangan Kedutaan Malaysia di Jakarta pasti menjadi tumpuan penunjuk perasaan.
Ada kalanya isu yang dibantah itu adalah akibat kurang faham dan tidak terkecuali disebabkan ada yang diperbesarkan pihak-pihak tertentu.
Ini termasuklah segelintir media mereka yang dalam fasa meraikan kebebasan akhbar hasil reformasi tahun 1998.
Berkongsi pengalaman dalam perkara ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq berkata, keadaan kini memang jauh berubah.
Katanya, jika diikutkan masih ada isu-isu tertentu yang boleh membangkitkan sentimen rakyat Indonesia seperti hal-hal melibatkan pekerja Indonesia di Malaysia.
Namun kata Adlan, hasil daripada sesi libat urus atau engagement berterusan dengan pihak-pihak berkaitan, hal ini dapat diredakan.
Tidak terkecuali kata beliau, peranan dimainkan pertubuhan seperti Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) yang ternyata mengeratkan hubungan media dua negara.
“Dalam libat urus yang dilakukan, kita beri kefahaman. Mereka menghargai apabila kita transparen atau telus,” katanya dalam pertemuan makan malam dengan delegasi ISWAMI Malaysia di Jakarta baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden ISWAMI, Datuk Zulkefli Hamzah dan Penasihat ISWAMI, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Malah dalam perbincangan itu, Adlan, 48, juga menyuarakan untuk melihat kerjasama lebih luas antara Kedutaan Malaysia dengan ISWAMI dalam merealisasikan aspirasi rakyat kedua-dua negara.
Antara kerjasama yang sedang dalam perancangan itu meliputi pameran foto untuk mempamerkan keakraban Malaysia-Indonesia sempena sambutan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Adlan juga melontarkan idea untuk dianjurkan satu wacana melibatkan tokoh pemikir dan generasi baharu yang membincangkan hubungan Malaysia-Indonesia sehingga 2050.
“Golongan pemikir harus dilibatkan untuk menjawab persoalan bagaimana masyarakat boleh bertindak balas terhadap pelbagai cabaran demi mewujudkan kemakmuran bersama,” kata diplomat kanan itu yang cukup berpengalaman dalam hal ehwal Asia Tenggara.
Malah Adlan juga orang paling kanan di Kedutaan Malaysia setelah ketua perwakilan masih lagi kosong sejak April 2021, iaitu sejak persaraan Duta Besar, Datuk Zainal Abidin Bakar.
Ulang tahun merdeka: ISWAMI ucap tahniah kepada rakyat, pemimpin Indonesia
Menyentuh soal pengganti Zainal Abidin yang masih belum diisi meski sudah lebih setahun, ada seorang diplomat senior di Kuala Lumpur yang menyuarakan keresahan.
Resahnya bertempat kerana katanya, apabila jawatan Duta Besar itu dibiarkan kosong untuk satu tempoh yang lama, ia juga boleh mengundang tafisran lain bahawa ia satu isyarat.
“Apakah Indonesia tidak lagi penting hinggakan Malaysia masih tiada Dubes di Jakarta?,” kata diplomat itu menerangkan tafsiran beliau tentang isyarat itu tadi.
Pada masa sama beliau memahami ada kesulitan akibat pandemik yang menyebabkan bukan Indonesia sahaja, tetapi ada kekosongan duta di banyak negara lain.
Baca: Agong kurnia watikah kepada empat duta baharu, tiada Tajuddin
Hal ini sememangnya perlu diberi perhatian segera kerana Malaysia dan Indonesia sama penting. Harapnya pelantikan Duta Besar Malaysia di Jakarta tidak berlarutan dan semuanya selesai baik-baik sahaja.

Apatah lagi Indonesia yang semakin mengorak langkah dalam segenap segi. Memetik kata-kata Gabenor Jakarta, Anies Basweidan ketika menyampaikan pidato sempena perasmian Festival Melayu Jakarta, ‘Indonesia lebih banyak esok berbanding semalam’.
Beliau merujuk 77 tahun kemerdekaan Indonesia yang disambut Rabu lalu itu sebagai adalah satu usia singkat sedangkan masa depan Republik ini jauh lebih panjang.
Justeru, peluang daripada perkembangan di Indonesia harus dimanfaatkan negara serantau terutama Malaysia yang dianggap negara serumpun.

