BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, hari ini bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Sabitan dan hukuman penjara dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu dalam kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Rayuan utama Najib bermula sejak pukul 9.30 pagi tadi selepas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim menolak permohonan Najib bagi menangguhkan pendengaran rayuannya, Selasa lalu.
Isnin dan Selasa lalu, panel lima hakim itu turut mendengar satu lagi permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu mengaitkan kedudukan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sewaktu di Kumpulan Maybank dengan SRC International.
Bagaimanapun, permohonan berkenaan turut ditolak sebulat suara panel yang bersidang termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Dalam menyampaikan penghakimannya Tengku Maimun menetapkan bahawa permohonan yang dibuat oleh peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik bagi tempoh penangguhan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, ditolak sebulat suara, kerana hak bagi perbicaraan yang adil tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
Baca artikel berkaitan: Keadilan perjalanan panjang, Zahid ajak bersolidariti bersama Najib
Berhubung bukti tambahan yang cuba dibawa Najib, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Mohd Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.
Tengku Maimun berkata mahkamah memutuskan bahawa Najib gagal melepasi tahap tinggi Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mengandungi undang-undang mengenai bukti baharu.
Tengku Maimun berkata peranan Mohd Nazlan sebelum ini dalam Maybank diketahui umum dan akan terbuka kepada pemohon untuk membuat sebarang permintaan untuk pendedahan dokumen itu melalui tindakan selanjutnya.
Najib telah pun tiba di Istana Kehakiman, Putrajaya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Puluhan penyokong beliau turut dilihat berada di perkarangan Istana Kehakiman bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu.
Kes itu di peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu.
Bekas perdana menteri itu didakwa pada 4 Julai 2018, sekali gus kes pertama seumpamanya dalam sejarah kehakiman negara.
Pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam kanan, Hisyam Teh Poh Teik, dijangka membuat penghujahan pertama, sebelum disusuli penghujahan balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk, V Sithambaram.
Pasukan pendakwaan turut disertai empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin; Sulaiman Kho, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.
Manakala Najib, turut diwakili peguam bela yang juga bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam dan Hannah Kam Zhen Yi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

