PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak agar Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar atau memutuskan rayuan terakhir beliau bukan dibuat untuk mengaibkan mahkamah terutama Ketua Hakim Negara dan prosiding yang sedang berlangsung.
Berdasarkan notis usul itu, sebaliknya permohonan tersebut demi kepentingan melindungi kebebasan badan kehakiman, lapor Bernama.
Menurut afidavit sokongan, Najib mendakwa terdapat hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh seorang individu bernama Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018.
Hantaran itu antara lain menyebut tentang Najib yang telah ‘ditumbangkan’ pada PRU14.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa individu bernama Zamani Ibrahim adalah suami kepada Ketua Hakim Negara yang mengetuai panel hakim yang mendengar rayuan terakhir saya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan,” menurutnya dalam afidavit itu.
Baca: Rayuan SRC: Najib mahu Ketua Hakim Negara tarik diri
Najib berkata perkembangan baharu itu amat membimbangkan dengan mengambil kira fakta bahawa Zamani secara jelas mempunyai pandangan yang negatif terhadap kepimpinan beliau di negara ini sebagai Perdana Menteri dan telah menyimpulkan bahawa beliau menyalur keluar dana-dana harta negara ke dalam akaun peribadinya.
Beliau juga berkata Zamani, sebagai suami Pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan itu, mungkin mempengaruhi pemikiran Tengku Maimun terhadap tuduhan atas kebersalahannya.
“Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami-isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran Pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen-sentimen suami Yang Amat Arif Ketua Hakim terhadap saya.
“Malah, saya sesungguhnya percaya bahawa sekiranya Mahkamah Yang Mulia ini memutuskan bertentangan saya di mana yang dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim, pemerhati termaklum dan berfikiran adil akan berpendapat yang sama terhadap isu-isu yang terbangkit di atas,” katanya.
Bagi meletakkan perkara itu dalam perspektif, Najib berkata ketika perbicaraan kesnya bermula, hakim pertama yang mendengar kes tersebut iaitu Datuk Mohd Sofian Abd Razak, telah dikatakan mempunyai seorang abang yang juga ahli UMNO serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, telah diminta menarik diri atas sebab orang awam mungkin berpandangan bahawa keadilan tidak dilihat berlaku.

