“BELIAU (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah disabit dan menjalani hukuman. Sudahlah.”
Itu kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan terhadap golongan yang terlalu ‘bergembira’ sehingga menyindir Najib yang telah disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Ia selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu, semalam.
Menurut Shahril, tiada siapa yang memaksa golongan yang tidak menyukai Najib untuk suka terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.
Malah, kata beliau, tiada sesiapa juga memaksa untuk melawan atau campur tangan keputusan mahkamah seperti mana tiada siapa termasuk Najib pernah meminta untuk melawan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Namun begitu, Shahril menegaskan, apa keperluan untuk sesetengah golongan berterusan ‘mentertawakan’ Najib dan keluarganya.
“Tapi untuk mentertawakan beliau, penyokong dan keluarga beliau. Memperlekeh orang yang simpati. Bergembira dan meraikan atas kejatuhan orang lain. Apa keperluan?
“Semoga terbuka hati untuk menyedari, bukan setiap hari kita akan senang. Bukan setiap hari kita suci.
“Belum tentu hari lain kita tidak akan kecundang. Pada saat itu, semoga tiada yang mentertawa dan meraikan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Najib boleh bayar denda RM210 juta bila-bila masa sepanjang tempoh dipenjara
Shahril turut berharap sesiapa yang merasakan segala senarai jasa dan pencapaian Najib terpadam supaya terbuka hati bukan hanya melihat yang buruk tetapi juga mengiktiraf legasi positif bekas Perdana Menteri.
“Tapi kalau tak hendak, tiada siapa paksa.
“Tidak juga sesiapa minta susun rusuhan atau demonstrasi. Sama seperti PRU-14.
“Orang lain kita tidak tahu tapi kalau UMNO dan pemimpinnya, akan cuba, berhujah dan bersaing dalam gelanggang dan dalam sistem.
“Andai tewas, tidak pun minta meruntuhkan sistem itu,” jelas beliau.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International.
Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara mulai semalam.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.
Najib, 69, pada 8 Dis 2021 gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

