SESEORANG banduan boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan atau mengurangkan hukuman, boleh dikemukakan pada bila-bila masa selepas mahkamah tertinggi membuat keputusan terhadap suatu kes.
Peguam, Datuk Salehuddin Saidin, berkata namun terpulang kepada Lembaga Pengampunan yang berkenaan untuk menentukan bila petisyen itu boleh didengar.
Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong/Sultan, akan memberi pertimbangan sama ada untuk mengampunkan atau mengurangkan hukuman.
“Dalam keadaan biasa, petisyen pengampunan akan diangkat kepada Lembaga Pengampunan selepas empat tahun menjalani hukuman. Bagi kes yang sudah menjalani hukuman, mereka masih boleh memfailkan petisyen pengampunan itu.
“Dalam kes membabitkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), disyaratkan hanya boleh bertanding selepas lima tahun selesai menjalani hukuman penjara. Bagaimanapun jika mendapat pengampunan, maka tidak perlu menunggu hingga tempoh berkenaan,” katanya memetik laporan BH.
Beliau ditanya mengenai proses petisyen pengampunan dan semakan kehakiman yang dibenarkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
BERITA BERKAITAN PSUAM mohon Agong beri pengampunan kepada Najib, lantik jadi PM interim
Bagi kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, diperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan segala kesalahan yang dibicara serta dilakukan di dalam wilayah berkenaan.
Salehuddin yang juga bekas timbalan pendakwa raya Pejabat Peguam Negara memaklumkan menurut Peraturan Penjara 2000, sebaik saja seorang banduan itu disabitkan kesalahan oleh mahkamah, banduan atau waris boleh mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Banduan dibenar mengemukakan petisyen kedua apabila banduan itu menyempurnakan tiga tahun pemenjaraan dan selepas itu, boleh dibenarkan membuat petisyen selang dua tahun,” katanya.
Ditanya mengenai semakan kehakiman pula, Salehuddin berkata, perkara itu boleh difailkan atas sebab prosedur atau teknikal yang membabitkan perbicaraan atau rayuan kes mereka.
Beliau menjelaskan, semakan kehakiman itu bukan merayu kepada sabitan dan hukuman kepada kes.
“Semua perkara itu boleh mereka failkan dan dibuat semakan kehakiman di mahkamah yang sama. Jika membabitkan Mahkamah Persekutuan, hanya boleh di mahkamah berkenaan kerana ia mahkamah paling tinggi dan tidak boleh dibuat di mahkamah lebih rendah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram & TikTok