PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pekan tidak perlu diadakan walaupun jika Datuk Seri Najib Tun Razak sah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
Buat masa ini, status bekas Perdana Menteri itu sebagai Ahli Parlimen Pekan akan ditentukan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan.
Itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar seperti dipetik BH Online.
Menurut Wan Junaidi, tiada keperluan untuk mengadakan PRK Parlimen Pekan kerana kekosongan di kerusi berkenaan berlaku kurang dua tahun sebelum tempoh Parlimen perlu dibubarkan.
Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, Najib juga akan secara rasmi hilang kelayakan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya tiada sebarang proses lanjut membabitkan semakan atau permohonan pengampunan diraja.
“Pengosongan kerusi tidak serta-merta, tetapi selepas 14 hari. Dalam tempoh itu, Najib masih boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja.
“Selepas tempoh itu, jika Parlimen dimaklumkan bahawa Najib telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka kerusinya akan dikosongkan.
“Namun, mengikut Perlembagaan juga, tiada keperluan untuk PRK dilaksanakan kerana tempoh kekosongan kurang dua tahun daripada pembubaran Parlimen,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Najib masih ada empat lagi kes belum selesai
Semalam, Najib yang dikenakan hukuman penjara 12 tahun dibawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau tiba di penjara tersebut, pada 6.05 petang semalam dengan kawalan ketat polis diperintah menjalani hukuman selepas mahkamah tertinggi itu menolak rayuan terakhirnya.
Menurut laporan media, Najib ditempatkan di Penjara Kajang buat sementara waktu sebelum dihantar ke Penjara Sungai Buloh.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.
Najib, 69, pada 8 Dis 2021 gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat perlu diisi menerusi pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan luar jangka itu berlaku.
Bagaimanapun, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat itu berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen terbubar, kekosongan itu tidak boleh diisi, melainkan bilangan parti yang membentuk majoriti di Dewan Rakyat terjejas akibat kekosongan berkenaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

