KEPUTUSAN kerajaan untuk membentangkan Belanjawan 2023 tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober depan disifatkan petanda Perdana Menteri berdepan tekanan kuat daripada partinya sendiri.
Walaupun penjadualan semula pembentangan bajet itu bukanlah di luar kebiasaan, namun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai kekuatan untuk menentukan sesuatu perkara.
Malah, Anwar mendakwa, Ismail Sabri berada di bawah telunjuk pimpinan UMNO.
Dalam rakaman video dimuatnaik ke Facebook, Anwar berkata, amalan sebelum pembentangan bajet dalam setahun dua ini adalah perundingan dengan Pakatan Harapan (PH).
Namun, kata beliau, perkara tersebut masih belum dimulakan kerajaan.
“Dalam proses penyediaan belanjawan, umumnya praktik kita satu dua tahun lalu, ada perundingan dengan PH berdasarkan memorandum persefahaman umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan dan pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan.
“Ini (rundingan) belum bermula, bermakna mereka terburu-buru melaksanakannya (Belanjawan 2023).
“Maka adalah diandaikan ini dilakukan supaya memberikan sekali lagi ruang untuk Perdana Menteri menentukan tarikh pilihan raya,” katanya dalam rakaman video tersebut.
Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2023 sah dibentang 7 Oktober, Wan Junaidi nafi sebab PRU
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan keadaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika ini yang bertindak mengikut selera pimpinan beberapa kelompok dalam UMNO membuktikan bahawa negara memerlukan mandat yang lebih kukuh.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan perlu stabil dan diberi mandat yang jelas supaya pemerintahan baharu dapat menumpukan perhatian untuk memastikan tatakelola kerajaan berjalan dengan baik dan menghapuskan rasuah.
Jelas Anwar, terdapat beberapa isu besar lain yang perlu diambil kira termasuk peningkatan kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemudahan kesihatan, menghadapi pendigitalan serta kecerdasan dan perubahan iklim, dengan banjir berlaku beberapa kali setahun.
“Satu pentadbiran yang lemah seperti yang ada sekarang di bawah telunjuk beberapa tokoh yang takut menghadapi pendakwaan di mahkamah tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang meningkat.
“Jadi, kita harap rakyat akan diberi pencerahan bersama untuk bangkit bertindak menuntut perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh,” jelas beliau.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Belanjawan 2023 yang sepatutnya dilaksanakan pada 28 Oktober akan dibentangkan tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober depan.
Bagaimanapun, Wan Junaidi menafikan spekulasi perubahan tarikh pembentangan Belanjawan 2023 itu ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

