JIKA  kamu seorang penyokong Manchester United, sudah tentunya Joel dan Avram Glazer ialah nama-nama yang membuat darah mendidih – pemilik kelab yang sedang memperjudikan masa depan salah satu permata dunia.

Sejak 17 tahun  lalu, ‘kasih sayang’ Joel Glazer terhadap asetnya makin hari didedahkan dengan naratif bahawa semuanya satu lakonan.

Si botak ini mungkin mempaparkan gambar-gambar ikonik di sejarah United di pejabatnya; ketika United memenangi Champions League pada 2008 dan perlawanan besar antara United dan Manchester City pada ulang tahun ke-50 tragedi kapal terbang di Munich di mana segala tajaan dibuang untuk menghormati mereka yang terkorban.

Tetapi, ini semua sekadar luaran, niat sebenar keluarga Amerika Syarikat ketika mereka mengambil alih United pada 2005 ialah untuk mengaut keuntungan.

Sejak zaman kegemilangan mereka, United membina nama besar di dunia bola sepak. Banyak pemain bermimpi tentang Old Trafford, dibuai dengan nyanyian 74,000 orang berbaju merah.  

United berjaya menarik minat banyak bermain lagenda dalam sukan dan setaraf dengan Real Madrid dari segi peninggalan legasi serta piala.

Jenama United sendiri mengaut keuntungan dengan jualan baju, lawatan ke stadium dan  cenderahati. Apa yang ditampal logo Manchester United, semua boleh dijual.

Tetapi, kebolehpasaran United juga merupakan sebuah sumpahan kepada mereka.

Penyokong dan masyarakat setempat membina satu dinasti dari batu bata dengan memberi tumpuan kepada budaya dan membantu bakat tempatan menjadi sebuah produk daripada legasi Manchester United namun itu semua dirampas oleh ahli-ahli perniagaan.

Manchester United dilihat sebagai aset kewangan, bukannya sebuah kelab oleh Joel dan Avram Glazer. Mereka menggunapakai kegemilangan United – sesuatu yang bukan mereka bina- untuk kepentingan sendiri.

Konflik antara pemilik  dan penyokong Manchester United mempunyai sejarah yang sukar dijelaskan. Ringkasnya, mereka dilihat sebagai penjajah di Manchester.

Penjajah pun dikatakan ada juga emosi dan semangat memperjuangkan apa yang dia rasa betul tetapi Joel Glazer? Dia hanya mampu duduk dalam kereta mewah, memakai pelitup muka dan kaca mata hitam ketika bercakap dengan wartawan.

“Minta maaf pun tiada? Adakah penyokong United hanya pelanggan untuk kamu?”, kata seorang wartawan kepadanya dan Joel hanya diam.

Kenapa? Sebab dia tahu jika buka mulut, egonya akan pecah – sebab egonya LAGI PENTING daripada orang lain.

Sebelum keluarga Glazer mengambil alih United, penyokong diberikan sedikit peluang yang kecil namun berharga untuk membeli semula kelab mereka.

Coolmore Horse Racing Group yang dipimpin oleh John Magnier dan J.P McMamanus memiliki 28.7% saham dalam United – saham yang tidak lagi disentuh oleh tangan kotor Glazer.

Mereka juga mempunyai hubungan erat dengan Sir Alex Ferguson ketika itu tetapi ia terjejas kerana rebutan untuk memiliki seekor kuda, The Rock of Gibraltar.

Pada Mei 12 2005, Red Football, syarikat di bawah keluarga Glazer, mengeluarkan kenyataan bersetuju membeli saham Coolmore Horse Racing Group dan secara tidak langsung, menjadi ‘pukulan terakhir’ kepada penyokong.  Apa yang dilihat sebagai harapan untuk United bertukar menjadi barah.

Nasib United secara ironiknya, dibasikan oleh ketamakan orang dalaman sendiri, kemudiannya dirosakkan lagi dengan ketamakan orang luar.

Sehingga kini, kumpulan penyokong United, The 1958 menunjukkan dedikasi mereka untuk memutuskan kawalan Joel dan Avram Glazer daripada Manchester United dengan melakukan demonstrasi di jalan raya Manchester.

Mereka ialah kumpulan penyokong yang tegas menyatakan United disumpah dengan pemilik-pemiliknya, tersekat dengan masalah berisiko tinggi dan ia terbukti betul.

Penyokong United mungkin bangga dengan sejarah kelab mereka tetapi mereka juga melihatnya satu sumpahan yang menarik orang-orang luar untuk mengambil kesempatan kepada kegemilangan oleh wira-wira dulu.

Bukan itu sahaja, penyokong mereka sendiri sering dibutakan dengan benda-benda yang sementara.

Sebelum kemenangan ke atas Liverpool, setiap hari mereka menggunakan hashtag #GlazersOut di Twitter. Apa sahaja yang boleh disuarakan, mereka menggunakan peluang tersebut untuk menunjukkan ketidak puashatian mereka kepada pemilik kelab namun, momentum tersebut sudah hilang.

Media sosial dibanjiri dengan pujian kepada pasukan tetapi majoriti penyokong sudah lupa bahawa musuh utama mereka bukannya Liverpool, tetapi adik-beradik Glazer.  Bukankah sebelum perlawanan itu mereka berjanji mereka akan melaburkan segala bajet untuk membantu Ten Hag membina skuad beliau? Di mana pergi bajet itu sekarang?

Sekali lagi, mereka melanggar janji.  Tetapi, ada kita lihat penyokong bersuara? Ada tetapi tidak sekuat dulu.  Penyokong United, pertahanan yang paling kuat mereka, mudah ditipu, mudah didiamkan.  Benteng utama United juga menjadi sebahagian daripada ‘sumpahan’ ini.

Soalnya, sampai bila?

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.