
SUDAH 41 tahun usia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang ditubuhkan secara rasmi pada Jun 1981. Penubuhannya bersamaan tarikh Mesyuarat Pertama Lembaga Pengurusan Perbadanan, dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad.
Pelantikan rasmi Ketua Pengarah Finas pertama, Ismail Zain, dibuat pada Ogos 1981. Mula beroperasi dari sebuah bangunan lama di Jalan Ampang Hilir, kemudian ke Jalan Pahang sebelum berpindah ke Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang mulai 1988.
Pada peringkat awal, Finas diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, sebelum dipindahkan di bawah naungan Kementerian Penerangan (kini Kementerian Komunikasi dan Multimedia Melaysia) pada 1986.
Finas juga pernah bernaung di bawah Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan pada 2004 sebelum kembali kepada Kementerian Penerangan pada 2009. Pada Januari 2013, Finas secara rasmi bergabung dengan Filem Negara dan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Fungsi utama Finas ialah menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan perfileman di Malaysia agar filem tempatan berdaya maju serta mampu menembusi pasaran antarabangsa, mengangkat martabat di peringkat global.
BERITA BERKAITAN Tujuh pembuat filem pendek terima dana FINAS
Sejak berdekad lalu, filem dari Hollywood, Bollywood dan Indonesia terutamanya membanjiri negara ini. Tetapi filem Malaysia sukar menembusi walau pasaran Indonesia berbanding kebanjiran filem itu di negara ini, terutama pada era tahun 70-an.
Justeru kini setelah 41 tahun usia Finas, dan bakal menganjurkan Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM- 32) di Melaka pada 2 Disember 2022, wajar direnung kembali ke mana haluan filem tempatan. Adakah Finas berjaya dalam misi memertabat dan mengantarabangsakan filem tempatan selain mengadakan festival?
Festival filem tidak salah untuk menghargai karyawan filem tempatan, tetapi jangan jadikan ia sebagai pentas warna warni untuk berpesta sahaja. Sebaliknya jadikan ia sebagai medan menilai serta mengukur sejauh mana kejayaan filem tempatan sehingga kini.
Festival wajar menjadi medan percambahan minda untuk menangkat martabat filem Melayu. Cari formula bagaimana filem tempatan boleh meraih kutipan tinggi sehingga RM100 juta seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. Filem-filem tempatan perlu cemerlang berterusan jika ingin merentas sempadan.

Finas sudah dewasa. Pengerusi dan ketua pengarahnya (kini Ketua Pegawai Eksekutif) silih berganti. Daripada Ismail Zain sebagai ketua pengarah pertama, mulai Ogos 1981 hingga 1985, kini teraju kepimpinan dipegang oleh Dr. Md Nasir Ibrahim, seorang ahli akademik. Beliau diharap mampu membawa perubahan kepada Finas.
Bermula dari bangunan lama di Jalan Ampang Hilir, Finas berpindah ke Jalan Pahang, dan kini menghuni kompleks Studio Merdeka tersergam di Hulu Kelang. Sejajar ibu pejabat dan nama jawatan utama berubah, Finas juga harus berubah dalam melaksanakan fungsi.
Aspek ini perlu diberi perhatian oleh Dr Nasir. Di bahunya terletak tugas besar memastikan filem tempatan lebih berkualiti, lebih memukau penonton dan mengorak langkah ke persada antarabangsa.
Dalam FFM-32 khabarnya ada tiga kategori baharu akan diperkenal. Satu daripadanya ialah Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik, selain Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman dan Augerah Filem Pendek Terbaik.
Difahamkan 10 negara menyertai kategori Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik. Perlukah kategori ini dalam kedudukan filem Malaysia sendiri hanya ‘juara kampung’? Namun tidak mengapa jika ia bermanfaat kepada filem tempatan serta sebagai pelaburan.
Seperti disebut oleh Dr. Nasir, elemen antarabangsa ini diselitkan, dengan penglibatan juri luar negara, sebagai kaedah pelaburan jangka panjang. Beliau opitimis peluang terbuka luas untuk filem tempatan menembusi sempadan berdasar kualiti produk beridentiti tempatan.
Semoga hasrat ini akan tercapai. Finas perlu sentiasa dinamik memartabatkan filem tempatan dan menjadikannya industri besar. Kerana itu pada awalnya Finas diletak di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Pada ketika ini, sudah bolehkah mengaku filem tempatan telah mencapai taraf industri?
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

