SEBANYAK 19 isu penting memerlukan perhatian lanjut kerajaan telah dikenal pasti pasukan petugas khas (PPK) yang menyiasat dakwaan dalam buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PPK siasatan dakwaan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ telah membentang dan menyerahkan laporan akhir kepadanya.
Sehubungan itu, Wan Junaidi memaklumkan, laporan akhir itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan.
Menurut beliau, laporan akhir itu disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan.
“Laporan ini telah disediakan oleh PPK dalam tempoh sembilan bulan iaitu dari Disember 2021 hingga bulan ini.
“Satu laporan interim telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April lalu.
“Dalam hal ini, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kabinet setuju siasat dakwaan Tommy Thomas, semak semula kes Pulau Batu Puteh
Untuk rekod, pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.
Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.
Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata, PPK itu dipengerusikan Penasihat Undang-Undang kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung dengan keahlian terdiri daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan dan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.
Ahli lain adalah bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jagjit Singh; peguam, Datuk Shaharudin Ali dan K Balaguru.
Mereka turut disertai wakil daripada kementerian dan jabatan yang berkepentingan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).
Selain itu, Wan Junaidi berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia bagi jawatankuasa berkenaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

