AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa masih berada di China.
Pada masa sama, Jho Low turut dikatakan telah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Bagaimanapun, penulis bersama buku Billion Dollar Whale:The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World iaitu Bradley Hope berkata kali terakhir Jho Low dilihat adalah pada tahun 2019.
Jelas Hope, keberadaan lelaki berkenaan bagaimanapun tidak diketahui selepas COVID-19 melanda dunia.
Dalam episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ bersama penulis, Tom Wright menerusi aplikasi Youtube, hari ini, Hope turut berkongsi gambar yang didakwa Jho Low di Disneyland Shanghai.
Menurut Hope, gambar lelaki tersebut bersama dua lagi individu tidak dikenali dipercayai bertarikh 24 Disember 2019.
Katanya, gambar Jho Low itu diterimanya daripada sumber yang boleh dipercayai.
“Berdasarkan maklumat yang kita terima, Jho Low berada di China. Kita menerima gambarnya sedang bercuti di Disneyland Shanghai.
“Apa yang kita tahu dia sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak,” katanya dalam program tersebut.
Hope bersama Wright sebelum ini melancarkan kempen ‘mencari’ Jho Low dengan bantuan orang ramai.
Baca artikel berkaitan: 1MDB dapat kebenaran serah writ saman kepada kakak, adik Jho Low di luar negara
Mereka meminta orang ramai berkongsi sekiranya mempunyai maklumat tentang keberadaan Jho Low menerusi emel [email protected].
Hope turut menyifatkan pencarian Jho Low itu ibarat menyelesaikan kepingan terakhir teka-teki.
“Ada antaranya mendakwa nampak Jho Low berparti di China, saya ingat ada satu parti ‘Victoria Secret’ di China. Semua orang terkejut apabila Jho Low muncul di parti berkenaan.
“Bagaimanapun, dunianya semakin mengecil, Jho Low sebelum ini berlegar di China, Taiwan dan Thailand tetapi selepas Najib ditahan, Jho Low hanya berada di sekitar China. Ada empat bandar raya dia sering luangkan masa,” katanya.
Difahamkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada dana 1MDB oleh Jho Low dan beberapa pegawai peringkat tinggi yang menguruskan dana itu serta sekutu mereka.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mengesan dan membawanya pulang ke negara ini, namun usaha pihak berkuasa itu setakat ini masih belum berhasil.
Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.
Dengan pihak berkuasa Malaysia terus mencarinya, dia dilaporkan menawarkan penyelesaian tetapi Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan perkara itu ditolak.
Laporan berita yang memetik sumber, mendakwa bahawa Jho Low menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

