SETELAH tular hantaran memaparkan wajah beberapa mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dikatakan berada di Diego Garcia, seorang anak kepada ketua pramugara penerbangan itu menafikan dakwaan tersebut.
Maira Elizabeth anak kepada Andrew Nari menerusi akaun Instagram miliknya menjelaskan, individu tertera bukan bapanya mahu pun menyerupainya.
Menurutnya, dia mengetahui perkara itu sebaik dimaklumkan beberapa individu yang menghantar mesej peribadi di akaun media sosialnya.
“Hello. Saya ditanya sama ada lelaki itu (gambar tular) adalah bapa saya atau menyerupainya.
“Saya ingin jelaskan bahawa dia bukan bapa saya,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Kata Maira, dia turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghantar mesej peribadi kepadanya selain memohon maaf kerana tidak dapat membalas kesemua mesej berkenaan
“Saya amat menghargai makluman itu dan berterima kasih kerana mengingatkan,” katanya.
Sebelum itu, tular di Facebook satu hantaran memaparkan wajah beberapa individu yang dikatakan berada di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Diego Garcia.
Gambar individu berkenaan dikatakan mangsa nahas MH370 termasuk ketua pramugara, Andrew atau menyerupainya.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang dari radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

