MENJADI komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain pembangunan Kampung Laut, satu lagi projek Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah projek Jambatan Palekbang yang akan bermula hujung tahun ini.

“Jambatan ini akan menjadi pemangkin utama dalam menjadikan negeri Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan di Pantai Timur, seterusnya dijangka dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.
“Saya difahamkan pengambilan tanah untuk pembangunan projek telah hampir selesai dan pelantikan kontraktor untuk pembinaan jambatan tersebut akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
“Jambatan sepanjang 4 kilometer ini juga akan meningkatkan daya tarikan Kampung Laut sebagai destinasi wajib singgah dan akan menyelesaikan masalah aliran trafik di Jajahan Kota Bharu yang sangat meruncing terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya ketika merasmikan Projek Laman Warisan Seni Kampung Laut di Tumpat hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Tambah Ismail Sabri, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut.

Menurutnya, beliau sendiri teruja kerana Laman Warisan Kampung Laut kini telah menjadi satu destinasi wajib singgah oleh pengunjung-pengunjung di Kelantan, khususnya di Kota Bharu.
“Serunding Kampung Laut adalah terkenal di Malaysia dan ia merupakan juadah yang mesti dibeli oleh para pelancong apabila ke Kelantan.
“Dengan adanya Laman Warisan Serunding, para pengusaha kini beroperasi di sebuah kompleks yang lebih kondusif dan menarik yang akan meningkatkan lagi tarikan dan jualan hasil-hasil pengusaha kepada pengunjung,” jelasnya.
Kata Ismail Sabri, negeri Kelantan kaya dengan kesenian dan kraftangan yang diwarisi sejak turun temurun.
“Laman Warisan Seni yang dibangunkan akan memelihara warisan seni budaya rakyat Kelantan.
“Laman ini juga memberi peluang kepada karyawankaryawan seni tempatan untuk memasarkan hasil tangan seperti batik, wau dan barangan kraftangan kepada para pengunjung di samping terus mengekalkan budaya seni dan kraftangan Melayu di kalangan generasi muda,” ujar Perdana Menteri.
Dalam ucapannya itu juga, Ismail Sabru memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan empat projek di bawah ECERDC.
Beliau berkata kesemua projek tersebut diputuskan dalam mesyuarat ECERDC di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, hari ini.
Projek itu meliputi pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sejauh 147 kilometer (km) dan Projek Tebatan Banjir di Rantau Panjang-Golok Fasa 2 yang telah diluluskan dengan kos sebanyak RM897 juta.
“Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk melebarkan jalan projek Lebuhraya Kuantan, Pahang – Segamat, Johor Fasa 2 yang melibatkan jajaran dari Runchang ke Simpang 3 Keratong sepanjang 51 km.
“Kerajaan juga akan membangunkan kawasan bandar-bandar bersempadan dengan Thailand iaitu membina jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor,” katanya.

