SEORANG lelaki ditahan selepas bertindak menendang cermin sisi kereta BMW X3 milik seorang arkitek sehingga pecah dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2, 8.30 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 45 tahun sedang memandu kenderaan menghala ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur.
Katanya, tiba-tiba suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC telah datang dari arah belakang dan bertindak membunyikan hon sebelum berhenti di sebelah mangsa.
Beliau berkata, suspek memarahi mangsa dan bertindak menutup pintu kereta mangsa dengan kasar sewaktu mangsa ingin membuka pintu.
“Mangsa telah keluar dari kereta untuk berbincang tetapi suspek tidak mahu memberikan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan : Salah faham punca anggota bomba dilanggar Alphard
Jelasnya, suspek mengatakan ingin bergaduh kerana tidak berpuas hati sebelum mangsa dan suspek bertindak beredar.
Bagaimanapun, sewaktu mangsa lihat dari cermin belakang, suspek telah menunggang motosikal dengan laju dan menendang cermin sisi kereta sehingga pecah sebelum melarikan diri.
Mohamad Farouk berkata, punca kejadian dipercayai kerana salah faham sewaktu mangsa mengubah haluan tanpa memberi isyarat lampu.
Susulan kejadian itu, suspek yang bekerja sebagai pemandu berusia 35 tahun ditangkap di kawasan Sungai Buloh pada pukul 10.15 malam tadi.
“Turut dirampas pakaian serta motosikal yang digunakan semasa kejadian,” katanya.
Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

