Perikatan Nasional (PN) akan melakukan pertukaran kerusi melibatkan Bersatu dan Pas bagi menghadapi PRU-15. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional telah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kandungan manifesto itu adalah inklusif untuk semua kaum.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Perikatan Nasional telah menubuhkan jawatankuasa manifesto yang dipengerusikan Datuk Dr Radzi Jidin  dan dianggotai oleh wakil-wakil parti komponen Perikatan Nasional.

Manifesto ini memberi fokus bukan sahaja kepada kestabilan politik tetapi juga kepada pembangunan ekonomi dengan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Persidangan Cawangan Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan di Desa Tunas Hijau dekat Labuan hari ini.

Hamzah berkata jawatankuasa itu akan memastikan setiap kandungan dalam manifesto yang bakal dibentangkan sebelum PRU-15 dapat dicapai.

Baca: Bank disaran pertimbang cadangan pemberian moratorium kepada PKS – MPN

Pas ulangi pendirian perkukuh PN, tiada rundingan dengan UMNO – Muhyiddin

Mengenai persaingan antara Bersatu dan UMNO untuk menarik pengundi Melayu dalam PRU-15, beliau berkata Bersatu kini semakin diterima rakyat seluruh negara khususnya di Labuan dengan melihat ramai bekas ahli UMNO menyertai parti itu.

Hamzah berkata sejak Bersatu ditubuhkan enam tahun lepas, seramai lebih 600,000 telah berdaftar menjadi ahli.

“Kita akan berusaha memastikan Bersatu melahirkan ramai pemimpin unggul yang boleh datangnya dari Labuan dan negeri-negeri lain untuk membantu memimpin kerajaan,” katanya.

Seterusnya Hamzah mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi tujuan urus tadbir bahagian dan cawangan Bersatu Labuan dan 300 bakul makanan setiap bulan kepada keluarga memerlukan di pulau bebas cukai ini.

  — BERNAMA