Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yasssin GAMBAR: Abd Razak Aid

INSTITUSI perbankan di negara ini tidak akan mengalami kerugian sekiranya kerajaan melaksanakan moratorium khas kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Itu kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan senario berkenaan akan berlaku seperti mana pelaksanaan moratorium sebelum ini.

Menurut Muhyiddin, sektor PMKS masih belum pulih sepenuhnya ekoran penularan pandemik COVID-19.

Malah, kata beliau, peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) bakal membuatkan pengusaha PMKS menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Muhyiddin berkata, sektor tersebut penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

“Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan dengan hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini.

“Seperti mana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di negara kita tidak mengalami kerugian pun.

Baca artikel berkaitan: Bank disaran pertimbang cadangan pemberian moratorium kepada PKS – MPN

“Jadi, apa salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyarankan institusi perbankan agar mempertimbangkan cadangan pemberian moratorium kepada PMKS yang masih terkesan perniagaan pasca COVID-19.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, ini kerana terdapat mereka yang terus bergelut untuk pulih dan pihaknya sudah tiga kali membincangkan perkara itu dalam mesyuarat MPN.

“Antara lainnya memohon bantuan dari segi kewangan memandangkan ada antara mereka masih tidak dapat pulih dan perniagaan merosot.

“Ini ditambah pula dengan kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini yang dilihat bukan sahaja memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi negara malah prestasi PKS yang kini menyumbang 90 peratus kepada aktiviti ekonomi negara,” katanya.

Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram