RANG Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik akan cuba dibentangkan pada mesyuarat ketiga, penggal kelima Parlimen ke-14 iaitu mulai 3 Oktober depan di Dewan Rakyat.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Junaidi, Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan penggubalan RUU berkaitan sumbangan politik itu.
Wan Junaidi berkata, beliau telah membentangkan skop dasar bagi RUU Sumbangan Politik dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu.
Jelasnya, ia juga akan menyusul dengan keputusan supaya RUU itu digubal di mana Pengawal Sumbangan Politik dijadikan sebuah entiti bebas bagi mengawal selia sumbangan politik di negara ini.
“Penggubalan RUU ini akan mengambil kira pandangan pihak-pihak berkepentingan termasuk parti politik melalui sesi libat urus yang diadakan.
Baca artikel berkaitan: RUU Sumbangan Politik dibentang di Parlimen Oktober
“Saya juga akan menyusul pandangan Jemaah Menteri agar kerangka perundangan dicadangkan bagi RUU ini dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik untuk diperhalusi, sebelum dibentang pada Mesyuarat Parlimen kelak,” katanya.
Sebelum ini, Wan Junaidi dilapor memaklumkan, sudah berbincang dengan enam entiti termasuk Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penggubalan RUU berkenaan.
Perbincangan itu turut membabitkan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).
Pada 19 Mei lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, namun ia masih perlu dibincangkan dengan ahli Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.
RUU berkenaan dilihat penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik, selain dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

